Ratusan penduduk bantah perintah berkurung AS

CONCORD, AMERIKA SYARIKAT, 19 APRIL Ratusan penduduk menyertai tunjuk perasaan di beberapa bandar Amerika Syarikat (AS), bagi membantah perintah berkurung susulan keadaan ekonomi yang lumpuh akibat wabak COVID-19.

Dianggarkan kira-kira 400 orang berkumpul dalam kesejukan di Concord, New Hampshire dengan ramai lagi berada dalam kenderaan membawa mesej bahawa kuarantin tidak diperlukan di kawasan dengan kes COVID-19 yang sedikit.

Dalam kalangan penunjuk perasaan, kelihatan beberapa lelaki bersenjata memakai pakaian seragam tentera, dengan wajah mereka ditutup.

Di Texas, lebih daripada 250 orang berkumpul di luar State Capitol di Austin, termasuk ahli teori konspirasi sayap kanan Alex Jones, pengasas laman Infowars.

“Tiba masanya membuka semula Texas dan membenarkan orang kembali keluar bekerja dengan sendiri bukan kerana perintah kerajaan,” kata aktivis Young Americans for Liberty, Justin Greiss.

Ratusan penduduk New Hampshire mengadakan rapat di State House, menggesa kerajaan membuka semula negeri untuk perniagaan di Concord, New Hampshire pada 18 April. – AFP

Seorang suri rumah, Amira Abuzeid berkata, “Saya bukan seorang doktor tetapi saya bijak membuat perkiraan, dan nampaknya angka terkini itu tidak membimbangkan.

Penunjuk perasaan menerima dorongan dari beberapa negeri pimpinan Demokrat susulan tweet Trump mengatakan keadaan akan kembali normal, walaupun protes telah berlaku di negeri yang dipimpin oleh Republikan seperti New Hampshire dan Texas.

AS negara terburuk dalam penularan COVID-19 ketika ini menyaksikan lebih 734,000 kes dan 38,800 kematian sehingga petang semalam.

Di Concord, penunjuk perasaan membawa papan tanda dengan slogan seperti ‘Angka-angka berbohong’ dan ‘Buka semula New Hampshire’ dan ‘Hidup Bebas atau Mati kerana Perintah Berkurung’.

Seorang penunjuk perasaan, Skip Murphy, 63, berkata lebih baik orang ramai dibenarkan melakukan apa yang perlu dan bukan mengawal pergerakan mereka.

“Data kerajaan itu bercanggah dengan perintah berkurung yang dialami penduduk,” katanya ketika dihubungi AFP. – AFP