Ratusan penduduk Madrid banjiri taman

MADRID, 25 MEI – Beratus-ratus penduduk Madrid membanjiri taman-taman apabila peraturan perintah berkurung telah dilonggarkan di ibu negara Sepanyol dan di Barcelona, sementara pantai dibuka semula di negara itu selepas berbulan-bulan ditutup.

Selain membuka kembali pintu-pintu taman di bandar untuk kali pertama sejak pertengahan Mac, penduduk di bandar itu kini dapat bertemu dalam kumpulan sehingga 10 orang di rumah atau di restoran.

Langkah-langkah melonggarkan sekatan dibuat ketika kawasan Madrid, bandar Barcelona dan sebahagian besar Castile-Leon di barat laut, secara rasmi memasuki fasa pertama pembatalan salah satu perintah berkurung paling ketat di dunia.

Kawasan-kawasan tersebut mengambil langkah lebih perlahan di Sepanyol, yang mana pandemik telah membunuh lebih daripada 28,700 orang, salah satu angka tertinggi di dunia.

Di Madrid, ratusan penduduk keluar bersiar-siar pada waktu pagi di bandar Retiro Park yang terkenal, dengan orang ramai berjoging di kawasan tersebut.

“Pembukaan semula Retiro telah memberikan saya ketenangan, memberikan saya rasa selesa,” kata Rosa San Jose, seorang guru berusia 50 tahun yang memakai pakaian sukan dan penutup mulut dan hidung yang keluar bersiar-siar sebelum memulakan hari persekolahan dalam talian. – AFP

Beratus-ratus penduduk Madrid dan Barcelona mula keluar dari rumah ketika peraturan perintah berkurung dilonggarkan. – AFP