Ratusan protes susulan krisis ekonomi Lubnan

BEIRUT, 7 JUN – Penunjuk perasaan turun ke jalanan di ibu negara Lubnan susulan krisis ekonomi semalam, yang menyaksikan pertempuran tercetus antara penyokong dengan penentang kumpulan Hezbollah.

Ratusan penunjuk perasaan membanjiri sekitar Martyrs Square di pusat Beirut, malah pertengkaran turut berlaku dengan pasukan keselamatan yang bertindak melepaskan gas pemedih mata.

Menurut Palang Merah Lubnan, 48 orang cedera dalam keganasan itu di mana 11 daripada mereka dimasukkan ke hospital, manakala yang lain dirawat di tempat kejadian.

Tunjuk perasaan itu adalah perhimpunan antikerajaan secara besar-besaran yang pertama dengan dihadiri peserta dari seluruh negara selepas pihak berkuasa melonggarkan perintah berkurung yang berkuat kuasa pertengahan Mac lalu bagi memerangi wabak COVID-19.

Ramai penunjuk perasaan memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah mengekang penularan COVID-19 yang telah mengakibatkan krisis ekonomi paling teruk di negara dibebani hutang ini sejak perang saudara meletus dari 1975 hingga 1990. – AFP

Seorang pembantah melontar balik gas pemedih mata di tengah pertempuran dengan polis rusuhan berikutan demonstrasi di tengah Beirut pada 6 Jun 2020. – AFP