Ratusan sekolah ditutup akibat jerebu

JAKARTA, 10 SEPT – Ratusan sekolah di seluruh Asia Tenggara terpaksa ditutup susulan jerebu akibat kebakaran besar di sebahagian besar kawasan hutan hujan Indonesia, kata pegawai hari ini.

Kawasan besar hutan di Sumatera dan Borneo terbakar ketika ribuan anggota bomba berusaha mengekang api, yang kerap dimulakan untuk membersihkan ladang untuk menanam tanaman.

Pembakaran hutan untuk membuka jalan bagi perlada-ngan juga dikatakan menjadi dalang kebakaran besar yang kini berlaku di Amazon di Amerika Selatan, dan pakar percaya ia memberi impak serius kepada iklim global.

Di Indonesia, beberapa tompok panas, kawasan berisiko terbakar, merebak ke beberapa bahagian lain, termasuk di Borneo yang dikongsi negara itu dengan Malaysia dan Brunei.

Kualiti udara merosot ke paras tidak sihat di dan sekitar Kuala Lumpur, menurut indeks pencemaran udara kerajaan, dan langit diselubungi kabut tebal, manakala jerebu turut melanda Singapura.

Bau daun terbakar memenuhi udara, dan penduduk menderita masalah pernafasan, mengadu gatal dan sakit mata. Sekitar 400 sekolah ditutup hari ini di sembilan daerah di Sarawak, dengan lebih 150,000 pelajar terjejas, menurut jabatan pendidikan tempatan.

Di wilayah Jambi di Sumatera, beberapa tadika ditutup sehingga Jumaat ini, manakala sekolah rendah dan sekolah menengah rendah juga ditutup sementara, menurut pihak berkuasa tempatan, tetapi tidak memberikan jumlah sebenar. – AFP

Gambar yang diambil pada 9 September 2019 menunjukkan anggota bomba ketika bergelut memadamkan kebakaran di Kampar, Riau. – AFP