NANDGAON, INDIA, 5 MAC – Beratus-ratus wanita di dua bandar utara India meraikan Holi, perayaan warna Hindu, dengan mengacah-acah memukul lelaki menggunakan kayu sebagai tindak balas kepada usikan mereka sebagai sebahagian daripada upacara.
Selepas dua tahun tergendala kerana COVID, perayaan Holi yang bermula minggu lalu mencipta semula legenda dewa Hindu Krishna menyembur permaisurinya Radha dan rakan-rakannya dengan warna-warna merah, kuning, hijau dan kuning cempaka.
Wanita berkenaan berasal dari Nandgaon, kampung halaman Krishna, dan lelaki dari Barsana, kampung halaman legenda Radha.
Para lelaki memakai serban dan memegang perisai di atas kepala mereka untuk melindungi diri mereka daripada pukulan wanita dalam pertempuran olok-olok.
Mereka juga bertukar gula-gula dan minuman sebagai sebahagian daripada perayaan.
Perayaan ‘Lathmar Holi’ (Stick Holi) menarik pengunjung dari seluruh dunia beramai-ramai untuk merasai sambutan yang merupakan simbol warisan budaya India. Pekan kembar Nandgaon dan Barsana terletak kira-kira 115 kilometer di selatan New Delhi. Tradisi Holi berbeza-beza di seluruh India.
Di kebanyakan bahagian, percutian itu akan disambut pada hari Rabu, menjadikan jalan dan lorong menjadi taman permainan dengan orang dari semua agama menyertai perayaan itu. Ia juga termasuk belon air dan senapang pancut. – AP
