BEIJING – Diikat ketat, anjing poodle yang kelihatan takut memerhatikan doktor haiwan ketika dia mencucuk jarum halus di belakang dan kakinya, menggunakan seni lama akupunktur untuk merawat rasa sakit haiwan peliharaan.
Duniu merupakan salah satu daripada sejumlah haiwan yang telah berdaftar untuk mendapatkan rawatan perubatan tradisional di China – penjagaan yang menurut pengunjung bersifat kurang berisiko dan kurang memberi kesan sampingan berbanding dengan rawatan konvensional.
Di salah sebuah klinik di Beijing, haiwan peliharaan daripada semua spesies dan saiz datang untuk mendapatkan rawatan.
“Kelebihan ubat tradisional China adalah ia tidak membabitkan pembedahan,” beritahu Zhai Chunyu, 38 tahun, kepada AFP, ditemani oleh Duniu, anjing poodle peliharaannya.
“Dengan itu penderitaan haiwan dapat dikurangkan.”
Pada usia tiga tahun, Duniu menderita penyakit Legg-Calve-Perthes, yang menjejas tulang paha dan boleh membawa kepada osteoartritis atau penyakit sendi yang menyakitkan.
“Ia dalam keadaan amat sakit se-hingga tidak dapat meletakkan kakinya di atas tanah dan hilang selera makan,” kata Zhai, yang bekerja di firma kewangan.
“Seorang doktor menasihati saya supaya membuang pangkal tulang femur Duniu. Namun saya tidak mahu melakukannya kerana saya mempunyai seekor lagi anjing poodle yang juga mengalami situasi yang sama dan ia banyak menderita akibat pembedahan dan kesan sampingan selepas prosedur tersebut.
Pada masa itu, seorang kawan menasihatkannya supaya mencuba rawatan akupunktur.
“Selepas lima hingga enam sesi, kami dapat melihat hasilnya. Duniu boleh berjalan malah berlari sekali-skala,” kata Zhai.
Akupunktur haiwan sudah wujud berabad lamanya di China, menurut doktor haiwan Li Wen, yang menubuhkan kliniknya pada tahun 2016.
“Perubatan tradisional China bukannya berniat untuk mengganti perubatan konvensional’ kerana ‘kedua-duanya mempunyai manfaat dan kelebihannya yang tersendiri’ dan bersifat saling melengkapi antara satu sama lain, ujarnya.
Sebelum memulakan rawatan, doktor haiwan terlebih dahulu memeriksa tubuh badan haiwan, memeriksa mata dan warna lidah, mengambil denyutan nadi dan bertanyakan soalan kepada tuannya.
Seterusnya dia akan mencucuk jarum di poin-poin akupunktur khusus untuk anjing dan kucing.
“Daripada 10 haiwan yang saya rawat secara purata setiap hari, selalunya terdapat satu atau dua yang akan melawan,” kata Li.
“Awda perlu berkomunikasi dengan haiwan berkenaan, merawatnya dengan lembut, memberikan jaminan bahawa awda bukan berada di sana untuk mencederakannya.”
Rakaman muzik seruling buluh yang lembut dan bunyi burung berkicauan dimainkan di klinik untuk membantu haiwan tersebut berasa relaks dan tenang.
Li kebanyakannya mengendali kes kelumpuhan lemah anggota badan, epilepsi, sakit dan masalah kencing.
Namun akupunktur juga boleh digunakan untuk merawat penyakit apabila tidak adanya rawatan lain yang disediakan.
Demikianlah kesnya dengan Xiaomei, seekor anjing Labrador berusia 12 tahun yang menderita ketegangan saraf di tulang belakang bawahnya.
“September lalu, selepas berenang, ia tidak dapat berdiri semula. Seorang doktor haiwan kemudian memberitahu kami bahawa adalah mustahil untuk merawat keadaannya dan Xiaomei akan menjadi lumpuh,” tuan punya Ma Li, 41, memberitahu AFP.
“Disebabkan akupunktur, ia boleh berjalan seperti biasa malah berlari walaupun masih mengalami kesukaran,” ujarnya.
“Kali pertama, ia berasa takut,” menurut Yang Lihua, seorang pesara berusia 65 tahun sambil diiringi anjing Peking Niannian, yang menderita sakit tulang belakang ‘herniated disc’.
“Sekarang ia amat menyukai sesi akupunktur. Selepas setiap sesi, ia berasa amat relaks sehingga ia tidur dalam kereta dalam perjalanan pulang ke rumah.”
Pasaran akupunktur untuk haiwan masih terhad buat masa ini, menurut Li.
“Akan tetapi sejak tahun 2016, trend tersebut menjadi semakin popular,” tambahnya.
“Ketika taraf pendidikan semakin meningkat, taraf hidup semakin baik dan pendapatan bertambah, semakin ramai orang menyedari mengenai kelebihan perubatan ini.”
Anjing Labrador Ma melompat ke tempat duduk belakang kereta tuannya selepas sesi, nampak amat puas hati.
“Tidakkah ia nampak gembira?” ujarnya. – AFP