Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Rawatan percuma beri harapan

    KAMPALA – Ketika dunia memperingati Hari Kanser Kanak-Kanak Antarabangsa pada Selasa lalu, rawatan percuma bagi kanak-kanak yang menghidap kanser di Uganda menghidupkan semula harapan mereka.

    Jatuh pada 15 Februari setiap tahun, Hari Kanser Kanak-kanak Antarabangsa itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser kanak-kanak dan sokongan kepada kanak-kanak dan remaja yang menghidap kanser, mangsa yang berjaya sembuh dan keluarga mereka.

    Solomon Nsubuga, 10, bersedia untuk menyambung semula sekolah selepas dua tahun berjaya menjalani rawatan kanser. Nsubuga adalah antara ratusan kanak-kanak yang mendapat bantuan rawatan kanser percuma di bawah program Global Hematology-Oncology Pediatric Excellence (Global HOPE) di Hospital Rujukan Kebangsaan Mulago, Kampala.

    Ann Akullo, pakar kanser kanak-kanak di Mulago memberitahu Xinhua sejak program Global HOPE dimulakan pada 2019, lebih 730 kanak-kanak telah didiagnosis dengan kanser dan dirawat.

    Akullo berkata sejak tiga tahun lalu, 19 pakar pediatrik kanser telah dilatih untuk mengendalikan pesakit kanser kanak-kanak dan empat lagi sedang menjalani latihan di hospital Mulago. Beliau berkata negara itu telah membangunkan program rawatan kanser kanak-kanak kos efektif yang akan menyelamatkan nyawa.

    Pejuang kanser kanak-kanak menunjukkan lukisan yang mereka buat. – Xinhua
    Pejuang kanser kanak-kanak dan ibu bapa mereka bergambar ramai semasa aktiviti sempena Hari Kanser Kanak-kanak Antarabangsa di Hospital Rujukan Kebangsaan Mulago di Kampala, Uganda. – Xinhua

    “Kami menghasilkan rawatan kos efektif untuk pesakit kanak-kanak kanser selepas kami menyedari ramai yang maut akibat kanser leukemia dan limfoma,” kata Akullo.

    Kempen kesedaran kanser, menurut Akullo, telah membawa kepada diagnosis awal dan rawatan yang lebih baik.

    “Kini kami mempunyai keluarga yang telah diberi kaunseling dan kami telah melakukan susulan bagi memastikan pesakit kanser kanak-kanak mendapat rawatan tepat pada masanya,” katanya.

    Joyce Balagadde Kambugu, Pakar Onkologi kanak-kanak di Institut Kanser Uganda, sebuah institusi perubatan kerajaan, berkata kanser kanak-kanak boleh disembuhkan apabila kanak-kanak mempunyai akses kepada rawatan diagnostik, terapeutik dan sokongan.

    “Ini sepatutnya berlaku untuk semua kanak-kanak dalam semua segi, namun bagi mereka yang menghidap kanser di negara berpendapatan rendah dan sederhana, kelangsungan hidup masih berkurangan,” kata Kambugu, dengan alasan bahawa ketidaksamaan dalam penjagaan kanser kanak-kanak ini tidak boleh diterima dan mengancam masyarakat, pembangunan ekonomi dan kestabilan sosial.

    Beliau berkata mereka mendesak undang-undang baharu untuk memasukkan penjagaan kanser kanak-kanak sebagai perkhidmatan penting. Beliau menyatakan ahli baharu tenaga kerja sedang dilatih dan lebih banyak dana dicari dalam dan luar negara untuk kanser kanak-kanak.

    Kedua-dua pakar berpendapat lebih 85 peratus kanser kanak-kanak disembuhkan di negara berpendapatan tinggi kerana campur tangan rawatan yang canggih.

    Mereka bagaimanapun menyatakan di negara berpendapatan rendah dan sederhana, situasinya berbeza kerana beberapa faktor termasuk kurangnya kesedaran tentang kanser kanak-kanak, kekurangan ubat anti-kanser, salah tanggapan dan berat sebelah tentang kanser kanak-kanak dan kekurangan sokongan kewangan dan sosial untuk mengekalkan kebajikan orang ramai terjaga.

    Kambugu berkata terdapat enam kanser biasa yang mereka fokuskan kerana ia sangat boleh disembuhkan dengan terapi yang terbukti. Ia termasuk lymphoblastic leukemia (kanser darah), Burkitt lymphoma (kanser kelenjar limfa tahap teruk), Hodgkin lymphoma (kanser kelenjar limfa), Retinoblastoma (kanser mata kanak-kanak), Wilms tumor (kanser buah pinggang kanak-kanak), dan and low-grade glioma (kanser otak).

    Ini mewakili 50-60 peratus daripada semua kanser kanak-kanak. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...