Rawatan Regeneron khas untuk orang tertentu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Rawatan antibodi sintetik, Regeneron merupakan rawatan bagi penggunaan kecemasan dalam menangani penyakit COVID-19.

Hanya orang-orang yang tertentu sahaja layak untuk menerimanya dan setakat ini seramai 80 orang di negara ini telah menerima rawatan berkenaan yang diberikan bertujuan untuk mencegah gejala teruk COVID-19 misalnya daripada kategori 2 ke kategori 3 dan sebagainya, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung petang tadi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menambah, rawatan antibodi sintetik, Regeneron juga hanya akan diberikan kepada orang dewasa sahaja dan bukan untuk kanak-kanak.

Walau bagaimanapun tidak semua mereka yang dijangkiti COVID-19 itu layak bagi menerima rawatan tersebut di mana hanya mengikut kriteria tertentu dan berkenaan sahaja.

Bagi sesiapa yang menerima antibodi tersebut, mereka tidak akan dibolehkan untuk menerima suntikan vaksinasi COVID-19 terutama sekali yang belum menerima vaksinasi atau baharu memiliki satu dos suntikan vaksin yang mana terpaksa dipanjangkan jarak masa bagi pengambilan vaksin seterusnya.