KUALA LUMPUR, 28 Jan – Persekutuan Wushu Malaysia akan membuat rayuan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), meluluskan kedua-dua program latihan di Jepun pada Mac dan China pada September ini.
Presidennya, Datuk Chong Kin Fatt berkata dua program latihan tersebut sangat penting untuk mempersiapkan atlet negara ke Kejohanan Dunia Wushu di Shanghai, China pada Oktober dan Sukan SEA Filipina pada Disember.
“Ada sedikit perubahan dalam perancangan apabila MSN hanya membenarkan latihan di Jepun kerana pengurangan dalam bajet. Wushu merupakan antara penyumbang pingat yang penting buat negara, kita akan buat rayuan kepada MSN dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja dengan MSN, hari ini.
“Latihan di China penting kerana ada satu dua acara penting yang kita perlukan pertolongan mereka untuk meningkatkan kemahiran teknikal atlet-atlet kita. Menurut perancangan persekutuan, atlet kita akan terus menyertai Kejohanan Dunia selepas latihan di sana.
“Selepas itu mereka akan balik berlatih di MSN selama sebulan sebelum bertolak ke Filipina. Wushu merupakan sukan yang subjektif, jadi atlet kita perlukan latihan sepenuh masa, kita tidak boleh cakap tak ada wang, tak ada latihan,” katanya.
Beliau berkata kos latihan di China adalah lebih kurang RM100,000, manakala bajet keseluruhan bagi pasukan wushu Malaysia terdiri daripada sembilan atlet senior dan 14 atlet pelapis adalah kurang daripada RM1 juta untuk tahun ini.
Sementara itu, Chong berkata pihaknya sedang berusaha membangunkan disiplin Sanda (tempur) di negara ini, yang lebih tertumpu kepada disiplin Taolu (seni), kerana tujuh daripada 16 pingat emas yang ditawarkan pada Sukan SEA 2019 adalah dalam Sanda.
“Kita akan putuskan perkara ini pada mesyuarat selepas Tahun Baharu Cina. Kalau bergantung pada Taolu sahaja, prospek emas kita hanya satu kerana kita boleh ambil bahagian dalam sembilan acara sahaja. – Bernama

































