Rayu timbang semula lokasi bina Pan Borneo

LAHAD DATU, 3 Jan – Penduduk Kampung Sepagaya Ulu, Jalan Silam di sini yang terlibat sebagai laluan ke Lebuhraya Pan Borneo, memohon kerajaan mempertimbangkan semula keputusan menjadikan lokasi itu sebahagian lebuh raya berkenaan.

Rata-rata penduduk meluahkan rasa khuatir projek jalan pintas yang akan dilaksana di Km 9.5 Jalan Lahad Datu-Tawau itu bakal menjejaskan kediaman mereka.

“Kami menyokong penuh projek lebuh raya ini cuma kami minta pihak berkuasa pertimbangkan untuk mengalih jalan pintas yang dicadangkan itu ke kawasan lain,”

kata seorang penduduk Zainal Abidin Laja kepada pemberita.

Zainal Abidin, 67, berkata penduduk telah menghantar surat rayuan kepada Pengarah Kerja Raya negeri pada 1 Dis lepas namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas. – Bernama