Rayuan atas alasan sakit ditolak

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Mahkamah Tinggi, di sini, kelmarin telah menolak rayuan seorang tahanan terhadap hukuman yang dijatuhkan terhadapnya, dengan mahkamah mengatakan bahawa hukuman itu adalah sesuai dan kondisi penyakitnya yang teruk bukanlah satu alasan yang kuat untuk mempertimbangkan permohonan itu.

Awang Ibrahim bin Awang Besar dalam permohonannya menjelaskan kepada mahkamah bahawa dia mengidap tuberkulosis dan menderita disebabkan penyakit tersebut.

Tertuduh dijatuhkan hukuman denda $930,000, atau berdepan hukuman penjara tiga tahun jika gagal membayarnya kerana didapati memiliki 35 kotak berisi 230,000 rokok seludup di dalam keretanya pada malam 23 Oktober 2019 di Kampung Mentiri.

Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong mengatakan bahawa denda yang dikenakan adalah sedikit tinggi daripada minimum mandatori dan hukuman tiga tahun penjara adalah patut atas kegagalan membayar jumlah denda yang dijatuhkan ke atasnya.

Selain itu, mahkamah juga mengambil kira faktor memburukkan yang mana pada waktu kejadian, Awang Ibrahim telah membahayakan pegawai kastam yang memberi isyarat kepadanya untuk berhenti dengan tiba-tiba memecut dan bertembung dengan kenderaan kastam dalam usahanya untuk melarikan diri, meskipun tidak ada yang tercedera.

Responden pendakwa raya diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin Haji Kamaluddin dan Siti Khalilah Haji Hussin.