Rayuan Awie ditolak, diperintah bayar ganti rugi rm80,000

Mahkamah Rayuan mengarahkan penyanyi rock popular Datuk Awie membayar ganti rugi RM80,000 kepada bekas isterinya Rozana Misbun, selepas gagal dalam rayuan berhubung saman yang difailkannya berkaitan serangan tujuh tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel hakim yang diketuai oleh Datuk Nor Bee Ariffin bersama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Ghazali Cha selepas menolak rayuan Awie, 53, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman selaku perayu dalam saman sivil yang difailkan Rozana.

Dalam penghakimannya, hakim Nor Bee menegaskan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan perayu membayar jumlah itu tidak tersalah arah dalam undang-undang atau fakta atau keterangan.

“Jumlah bagi ganti rugi kecederaan dan ganti rugi teruk adalah adil dan munasabah dengan mengambil kira kecederaan yang dialami serta lokasi di mana kejadian berlaku.

“Kami (Mahkamah Rayuan) mendapati Mahkamah Tinggi tidak salah dalam mencapai keputusannya untuk mengesahkan keputusan Mahkamah Seksyen.

“Oleh itu tiada merit dalam rayuan ini dan rayuan perayu ditolak dengan kos RM15,000,” kata hakim itu dalam prosiding pendengaran rayuan perayu melalui aplikasi Zoom.

Dalam prosiding itu, peguam Hazman Harun mewakili Awie manakala peguam-peguam Azlan Abd. Roni, Ahmad Fakhri Abu Samah dan Nasyrah Ezzan Ali mewakili Rozana selaku responden.

Pada september 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan penyanyi lagu Diambang Wati itu membayar ganti rugi am sebanyak RM30,000 dan ganti rugi teruk sebanyak RM50,000 dibayar Rozana. – Agensi

Datuk Awie membayar ganti rugi kepada bekas isterinya selepas gagal dalam rayuan berhubung saman yang difailkannya berkaitan serangan tujuh tahun lalu. – Agensi