Rayuan denda $38,700 ditolak

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Pemilik dan pengarah urusan Syarikat Agongmas Trading, masing-masing terpaksa akur dengan denda $38,700 selepas gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan sabitan dan pengurangan denda atas kesalahan melibatkan Akta Daging Halal dan Perintah Kastam.

Hakim Pengiran Datin Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman menolak rayuan itu, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang telah mensabitkan kesalahan terhadap syarikat, pemilik syarikat, Haji Abdullah bin Haji Metussin, 67, dan Pengarah Urusan, Sharoon Fadzillah bin Haji Abdullah, 37 tahun.

Dalam mengekalkan sabitan, Hakim Pengiran Datin Hajah Rostaina bersetuju dengan pihak pendakwaan yang telah memetik satu kes kesalahan di bawah Akta Daging Halal, berdasarkan liabiliti ketat.

Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan ‘denda yang berlebihan’ memandangkan majistret perbicaraan ketika itu telah mengambil kira kelewatan kes yang dihadapkan.

Pada 31 Julai 2019, Haji Abdullah dan Sharoon Fadzillah dijatuhi denda $38,700 atau berdepan hukuman 18 bulan penjara setelah didapati bersalah selepas perbicaraan kerana mengimport, memiliki dan menjual produk daging import kepada syarikat lain tanpa memegang permit import dan eksport halal dari negara pengeksport.

Mahkamah Majistret ketika itu turut membatalkan permit import halal Agongmas Trading Company, dan permit juga tidak boleh dikeluarkan kepada syarikat berkenaan dan ahli keluarga mereka dan mana-mana syarikat lain yang tertuduh mempunyai kepentingan dalam masa-masa mendatang.

Haji Abdullah dan Sharoon Fadzillah sebelum ini didakwa memiliki dan menjual 148 karung yang mengandungi paru lembu seberat 2,216.55 kilogram; 330 kotak mengandungi sayap ayam masing-masing seberat 15 kilogram dan 185 kotak mengandungi tongkeng ayam dengan setiap kotak seberat 10 kilogram.

Syarikat itu juga didapati menjual 150 karton paru lembu seberat 2210.5 kilogram kepada sebuah syarikat.

Kesalahan syarikat itu terbongkar pada suku pertama 2011 apabila pemeriksaan ke atas gudang syarikat dijalankan pegawai dari Bahagian Kawalan Makanan Halal, yang mendapati pelbagai jenis daging yang disimpan tidak mempunyai logo Brunei Halal dan daging itu diimport dari Uruguay (tanpa logo halal dari negara pengeksport).

Terdahulu, Peguam Haji Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman yang mewakili kedua-duanya mendakwa bahawa Mahkamah Majistret membuat kesilapan teknikal dalam mensabitkan kesalahan ter-hadap anak guamnya dan juga pihak pendakwa gagal membuktikan kes itu di luar keraguan munasabah.