Rayuan ditolak, hukuman ditambah

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Bukan sahaja permohonan seorang pesalah untuk mendapatkan perintah percubaan ditolak Mahkamah Rayuan sebaliknya hukuman tiga bulan penjara yang dijatuhkan terhadapnya ditambah menjadi 18 bulan.

Pengiran Azizul Akbar bin Pengiran Haji Badaruddin telah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan pada 27 Ogos 2019 selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki.

Peguam Rozaiman Abdul Rahman telah cuba mendapatkan perintah percubaan bagi kliennya dalam mahkamah yang menjatuhkan hukuman dan di hadapan Yang Di-Pertua Mahkamah Rayuan, Hakim Michael Peter Burrell yang bersidang bersama Hakim Conrad Seagroatt dan Hakim Michael Lunn.

Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bahawa serangan berkenaan adalah ‘serangan kejam’ yang menyebabkan mangsa dalam keadaan vegetatif berterusan.

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurjauinah binti Haji Kula untuk menambah hukuman selepas mendapati bahawa kes berkenaan dalam lingkungan ‘paling teruk pernah dibayangkan’ sementara merujuk dakwaan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Hukuman terhadap Pengiran Azizul Akbar kemudian ditambah kepada 18 bulan penjara.
Menurut fakta kes, Pengiran Azizul Akbar telah memperdaya mangsa, yang dipercayainya telah mengganggu dan menghantar pesanan ringkas kepada isterinya, untuk datang ke flat mereka dan menyerang mangsa sebaik dia memasuki bilik flat. Pada satu masa ketika diikat dengan tali nilon, mangsa berjaya melepaskan diri, tetapi tiba di hospital dengan muntah-muntah dan tidak lama kemudian pengsan.

“Mangsa berada dalam penjagaan intensif selama sebulan dan kini berada dalam keadaan vegetatif berterusan,” menurut Mahkamah Rayuan dalam mempertimbangkan kes berkenaan antara yang paling teruk seumpamanya.