Rayuan lanjut tempoh bayaran denda ditolak

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Permohonan rayuan seorang lelaki untuk mendapatkan lanjutan tempoh bayaran denda atas kesalahan memiliki barang tegahan, ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Liew Shauw Ming pada Mei lalu dihukum denda $242,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah memiliki 235 karton rokok dan 42 botol arak tanpa permit.

Liew Shauw Ming dalam rayuannya memberitahu Ketua Hakim, Dato Paduka Steven Chong yang dia akan menjual hartanya untuk membayar denda dan memerlukan lebih masa.

Ketua Hakim bagaimanapun mendapati rayuan Liew Shauw Ming tidak memuaskan tambahan lagi dia tidak dapat memaklumkan mahkamah secara pasti bila dia dapat membuat pembayaran.

Ketua Hakim kemudian memutuskan untuk mengekalkan tempoh enam bulan yang diberikan Mahkamah Majistret dan jika gagal berdepan hukuman 26 bulan penjara.