Rayuan penyamar polis ditolak

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan seorang pesalah penyamar polis yang membuat rayuan terhadap penolakan Mahkamah Majistret untuk memberikannya penangguhan menjalani hukuman.

Mohammad Azwan bin Zawawi dijatuhkan hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret kerana menggunakan pakaian seragam untuk menyerupai polis dan bersubahat melakukan kesalahan pecah amanah. Mahkamah menolak permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman ke atasnya.

Alasan bagi permohonan berkenaan ialah jangka masa hukumannya tidak panjang dan pada ketika ia didengar, jangka masa hukuman sudah hampir tamat, Mohammad Azwan merupakan pesalah pertama, kepatuhannya terhadap ikat jamin yang diberikan ke atasnya setelah dia didakwa dan menjamin kehadirannya dalam rayuan serta ada kelebihan dalam rayuan tersebut.

Ini adalah alasan sama yang dibawa oleh Peguam Bela Pengiran Mohd Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin dalam rayuan di hadapan Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong.

Ketua hakim menolak permohonan tersebut kerana melihat bahawa tidak ada keadaan luar biasa bagi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan.

Bagaimanapun, ketua hakim memerintahkan rayuan substantif untuk didengar pada 20 Oktober.

Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali mewakili pendakwa raya sebagai responden dalam rayuan Mahkamah Tinggi.