Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Mahkamah Rayuan awal bulan ini menolak rayuan perompak bersenjata yang mendakwa hukuman penjara lapan tahun dengan 12 kali sebatan ke atasnya adalah berlebihan.
Hakim Michael Peter Burrell dan Hakim Conrad Seagroatt Michael Lunn serta-merta melihat tempoh minimum bagi kesalahan itu yang menetapkan hukuman penjara tujuh tahun dengan 12 kali sebatan.
Pada 29 November 2020, Pengiran Mohd Azharuddin bin Pengiran Haji Tajuddin singgah ke sebuah kedai runcit di Jalan Pasir Berakas sebelum pukul 8 pagi untuk membeli air.
Perayu kemudian pergi ke keretanya untuk mengambil pisau lalu kembali semula ke kedai dan mengambil beberapa barangan lagi serta membawanya ke kaunter pembayaran.
Ketika mangsa, yang pada masa itu bersendirian, sedang mengira barang-barang tersebut, perayu mengacukan pisau ke leher mangsa, yang kemudian cuba merebut pisau daripada perayu. Pergelutan berlaku dengan perayu berjaya menarik balik pisau, tetapi mencederakan mangsa.
Perayu kemudiannya mengambil beg yang mengandungi barang-barang berharga dan cuba membakar pinggan kertas menggunakan pemetik api lalu meninggalkan tempat. Mangsa memaklumkan rakan yang bekerja berhampiran, yang seterusnya mengambil butiran kereta perayu.
Ini membolehkan polis mengesan perayu pada petang yang sama dan menahannya.
Hakim yang menjatuhkan hukuman mengambil kira pengakuan bersalah perayu, rekod yang bersih serta rayuannya untuk diringankan dengan menyebut kesusahan keluarganya.
Mahkamah Rayuan juga memberi pertimbangan kepada perkara ini, tetapi melihat bahawa ia telah ditimbang oleh faktor-faktor yang memburukkan kes.
“Membawa dan menggunakan pisau untuk menakut-nakutkan dan pasti melukai adalah perkara yang memburukkan,” Hakim berfikir antara lain, membawa kepada keputusan mereka untuk menolak rayuan. Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman membantu mahkamah dalam rayuan tersebut.