Rayuan pesalah dadah ditolak

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Mahkamah Tinggi pada hari ini telah menolak rayuan seorang pesalah dadah yang mencabar keputusan Mahkamah Majistret dengan mendakwa ia kekurangan pertimbangan terhadap penangguhan kes.

Abdul Hafiz Zulfadli bin Fadzillah telah dihadapkan di Mahkamah Majistret pada 29 September 2020 dan didakwa dengan pertuduhan pertama kerana mengambil methylamphetamine pada 18 Disember 2012.

Pertuduhan kedua menyatakan dia memiliki 0.1992 gram methylamphetamine pada 1 Julai 2013 dan pertuduhan ketiga mengambil dadah yang sama pada tarikh yang sama.

Pertuduhan keempat menyatakan dia memiliki 1.1689 gram methylamphetamine bagi tujuan pengedaran pada 13 April 2014. Dokumen mahkamah selanjutnya menyatakan bahawa dia memiliki peralatan untuk pengambilan dadah pada 13 April 2014 dalam pertuduhan kelima.

Sementara itu, pertuduhan keenam menyatakan dia menggunakan methylamphetamine pada 17 Oktober 2016.

Dia mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan kecuali memiliki methylamphetamine bagi tujuan pemerdagangan.

Bagaimanapun, dia telah disabitkan selepas menjalani perbicaraan.

Pada 19 April, dia dijatuhi hukuman penjara, sebat dan diperintahkan membayar denda, dengan tambahan hukuman penjara jika gagal membayar.

Apabila disahkan denda tidak dibayar, dia menjalani hukuman penjara enam tahun lima bulan serta lima kali sebatan.

Peguam Daud Ismail semasa rayuan mencabar hukuman mahkamah atas pertuduhan memiliki methylamphetamine bagi tujuan mengedar yang dijatuhkan kepada anak guamnya, memetik kelewatan kes pendakwaan dan mendakwa kelemahan mahkamah dalam menekankan kelewatan menjatuhkan hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya Afyian Abdul Rahman yang hadir pada rayuan di Mahkamah Tinggi mengakui kelewatan itu bagaimanapun berhujah bahawa Mahkamah Majistret telah memberi pertimbangan kepada penangguhan itu dan keputusannya harus dikekalkan.

Rayuan itu memohon penggantian hukuman dengan perintah percubaan, perintah pemulihan atau semakan semula hukuman penjara yang membawa kepada hukuman penjara lima tahun serta lima kali sebatan.

Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret dan menolak rayuan itu atas alasan kedua-duanya (perintah percubaan dan pemulihan) adalah tidak wajar walaupun terdapat unsur kelewatan dalam kes itu.