Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Bekas pekerja Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Sabeli bin Ismail terpaksa akur dengan hukuman empat tahun penjara apabila rayuannya untuk mendapatkan pengurangan hukuman ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Pesalah, pada Disember 2016, dihukum penjara empat tahun atas kesalahan rasuah dan turut diperintahkan untuk membayar penalti berjumlah $30,250 atau berdepan tambahan enam bulan penjara.
Dia juga diarahkan untuk membayar kos pendakwaan sejumlah $50,000 atau berdepan tambahan tiga bulan penjara.
Pesalah mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah $51,750 dari bulan Julai hingga Disember 2008 daripada Syarikat Musfada Enterprise, yang merupakan syarikat pembekal BSP.
Hakim Dato Paduka Steven Chong memutuskan untuk mengekalkan tempoh hukuman dan menyifatkan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Majistret ke atas pesalah adalah tidak berlebihan.