Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Rayuan pesalah seksual ditolak

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Rayuan seorang lelaki yang meminta agar pensabitan atas penderaan seksual dan fizikal terhadap anak perempuannya dibatalkan, dan pengurangan hukuman ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 19 November lalu.

    Lelaki itu dirahsiakan identitinya walaupun di peringkat rayuan untuk melindungi identiti mangsa kerana sabitannya dikekalkan. Lelaki itu meminta untuk dibicarakan atas tiga pertuduhan mendera dua orang anak perempuannya secara fizikal yang berusia 11 dan 13 tahun pada tahun 2018.

    Dia juga menafikan enam pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap anak perempuan yang sama antara bulan November 2018 dan Ogos 2019 ketika mereka berusia 13 dan 14 tahun.

    Perbicaraan bermula pada 16 Disember 2019 dan berakhir pada 22 April 2020.

    Manakala keputusan penghakiman dijatuhkan pada 19 September 2020 apabila dia disabitkan dengan semua pertuduhan.

    Perayu meminta Yang Di-Pertua Mahkamah Rayuan Hakim Michael Peter Burrel, dibantu oleh Hakim Michael Lunn dan Conrad Seagroatt, untuk menyemak semula bukti yang membawa kepada sabitan dan hukumannya.

    Mahkamah Rayuan melihat perayu telah diberi peluang semasa perbicaraan untuk memanggil saksi bagi memberikan keterangan alibi, tetapi dia telah memilih sebaliknya.

    Dia hanya memberikan keterangannya dan menafikan dakwaan itu atas alasan dia sedang bekerja apabila semua kejadian yang didakwa terhadapnya berlaku.

    Hakim Mahkamah Rayuan meneliti dapatan hakim perbicaraan, menyatakan bahawa ia telah dilakukan dengan teliti melibatkan bukti perubatan dan keterangan saksi utama, termasuk gelagat mereka semasa pemeriksaan balas perayu.

    Dalam pada itu, perayu dikenakan hukuman 13 tahun penjara dengan tujuh sebatan juga didapati sesuai oleh Mahkamah Rayuan selepas mengambil kira keadaan kes.

    Mahkamah memetik fakta bahawa tidak ada mitigasi dipihaknya, penafiannya terhadap pertuduhan, keseriusan pertuduhan seksual dan bahawa dia telah membawa mangsa kepada penderaan yang merendahkan martabat dan telah memberikan pengalaman trauma terhadap dua orang anak perempuan itu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri Kiprawi membantu mahkamah sebagai responden.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...