KUALA LUMPUR, 20 OKT – Prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali optimis, pelumba pasukan berkenaan Fabio Quartararo mampu bangkit memberi cabaran dalam baki empat perlumbaan untuk meraih Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) buat julung kalinya.
Razlan berkata pelumba kelahiran Perancis itu dan rakan sepasukannya Franco Morbidelli dari Itali, masih bergelut untuk mempamerkan aksi konsisten pada hari perlumbaan sebenar, walaupun berjaya meraih keputusan positif, termasuk menduduki barisan hadapan dalam beberapa sesi kelayakan perlumbaan pada musim ini.
“Bagi saya, sukar untuk meramal peluang Quartararo, memandangkan pasukan sentiasa berdepan dengan keadaan di luar jangkaan pada hari perlumbaan.
“Sasaran sebenar kami untuk meraih kedudukan podium dalam beberapa perlumbaan sudah tercapai, namun kami akan berusaha untuk memburu keputusan positif dalam baki empat perlumbaan kerana jurang mata Quartararo dengan pendahulu (pelumba Team Suzuki Ecstar) Joan Mir (dari Sepanyol), tidak begitu jauh,” kata Razlan kepada Bernama, baru-baru ini.
Mir memintas kedudukan Quartararo selaku pendahulu Kejuaraan Dunia MotoGP 2020 selepas menduduki tangga ketiga pada perlumbaan Grand Prix (GP) Aragon di Sepanyol, baru-baru ini.
Pelumba berusia 23 tahun itu mengumpul 121 mata, manakala Quartararo turun ke tangga kedua dengan kutipan 115 mata selepas 10 perlumbaan setakat ini. – Bernama