BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Bagi mempromosikan perkhidmatan berjadual antara Nanning dan Brunei yang dilancarkan baru-baru ini, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah mengadakan acara promosi di Nanning, semalam, bersama rakan-rakan tempatannya dan duta jenama antarabangsa RB, Wu Chun.
RB dalam kenyataannya menyatakan bahawa acara berkenaan termasuk sidang media, pemasaran dan kempen kesedaran destinasi Brunei oleh RB dan Wu Chun diikuti dengan temu bual media bersama Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand dan Wu Chun.
Pada acara berkenaan, Wu Chun juga membuat penampilan bagi para peminatnya untuk mempromosikan RB dan pelancongan Brunei. Beliau mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti dengan beribu-ribu peminat dan pengunjung yang hadir.
Sebagai rakyat Brunei, Wu Chun berkongsi pengalamannya mengenai apa yang ditawarkan di Brunei dan RB dalam Bahasa Mandarin bersama peminatnya.
Nanning, ibu kota Rantau Autonomi Guangxi Zhuang di barat daya China adalah destinasi berjadual terbaharu yang ditambah kepada rangkaian laluan RB. Syarikat penerbangan kebangsaan Brunei itu pertama kali mengendalikan penerbangan carter secara bermusim ke Nanning pada 2016 dan menyambung perkhidmatan
ke destinasi berkenaan sebagai penerbangan carter antara Januari dan Mac 2018. Penerbangan-penerbangan berjadual, dua kali seminggu bermula sejurus selepas itu pada April tahun ini.
Karam Chand dipetik sebagai berkata, “RB sangat berbangga untuk melancarkan penerbangan dua kali seminggu antara Nanning dan Bandar Seri Begawan.
Penerbangan Nanning kami telah terbukti sangat popular dengan penumpang China dan Brunei.
“Menyediakan perkhidmatan berjadual tidak lama selepas melancarkan penerbangan-penerbangan berkenaan adalah bukti kepada kerja keras yang dilaksanakan oleh RB bersama rakan-rakan perniagaan kami di China-Hainan Wenhua Air Tourism.
“Kami telah menyaksikan lebihan kadar faktor beban sebanyak 80 peratus sejak memulakan perkhidmatan dan ini adalah berita baik bagi semua rakyat Brunei dan pihak berkepentingan pelancongan Nanning.”
Tambahnya lagi, RB gembira dengan pertumbuhan daripada pasaran sumber baharu dan mereka akan terus memerhatikannya dan bandar-bandar serantau lain di China dengan objektif untuk menambah lebih banyak kapasiti.
Menurut beliau lagi, China adalah pasaran pelancongan terbesar dunia dan mempunyai salah satu pelaburan langsung asing terbesar di Brunei. Ini memberikan peluang kepada RB untuk pengembangan lanjut dan membolehkan lebih banyak perjalanan, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua buah negara.
“Kami juga gembira untuk mengumumkan laluan baharu ke Haikou, ibu kota wilayah Hainan yang akan bermula pada 30 Oktober 2018, bergantung pada pengesahan kerajaan dan kebenaran slot pendaratan.
“Pada awalnya, kami akan menyediakan perkhidmatan dua kali seminggu ke Hainan dan terdapat potensi bagi lebih banyak penerbangan dengan pertumbuhan dalam pasaran berkenaan,” ujarnya lagi.
Kenyataan menjelaskan, perkhidmatan-perkhidmatan Nanning dan Haikou akan beroperasi menggunakan pesawat A320 NEO baharu, menawarkan produk perkhidmatan lengkap dengan tempat duduk perniagaan, ekonomi plus dan ekonomi serta lebih daripada 1,000 kandungan hiburan.
Menjelang November ini, RB akan mempunyai salah satu kumpulan pesawat paling muda di dunia dengan kadar pesawat berusia dua tahun.

































