RB buka laluan ke Sarawak

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) mengumumkan penambahan perkhidmatannya ke Sarawak dengan penerbangan ke Bintulu dan Sibu sebagai sebahagian daripada perkhidmatan RB Link.

RB telah melancarkan perkhidmatan RB Link yang menghubungkan Brunei dan bandar-bandar di pulau Borneo dengan kerjasama Malindo Air pada 31 Julai lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan RB, pengumuman mengenai tambahan destinasi-destinasi RB Link berkenaan telah dibuat oleh Naib Presiden Kanan Jualan RB, Ai Ling Ng pada satu sidang media dan taklimat ejen-ejen yang diadakan di Kuching, hari ini.

“Kami sangat gembira kerana dapat mengembangkan rangkaian kami di Sarawak dengan dua destinasi baharu, Bintulu dan Sibu menerusi produk inovatif baharu kami, RB Link,” ujar Ai Ling.

Menurut beliau, tambahan berkenaan membolehkan lebih banyak peluang-peluang perdagangan dan pelancongan antara bandar-bandar dan menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan untuk penduduk dari Bintulu dan Sibu ke mana-mana bandar menarik di dalam rangkaian global RB.

Penerbangan dari dan ke Bintulu dan Sibu akan mula beroperasi masing-masing pada awal November dan pertengahan November. Penerbangan RB Link akan dioperasikan oleh Malindo Air menggunakan pesawat ATR 72-600.