Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    RB gantung, kurangkan penerbangan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Dengan peningkatan wabak koronavirus (COVID-19) di seluruh dunia dan pelbagai sekatan perjalanan, permintaan untuk perjalanan udara di seluruh dunia telah berkurangan mendadak.

    Sehubungan itu, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) buat sementara waktu telah menggantung penerbangan ke China dan Seoul serta mengurangkan jumlah penerbangan ke Hong Kong dan Taipei.

    Sebagai syarikat penerbangan negara, RB akan terus menawarkan opsyen perjalanan ke China dan Seoul menerusi beberapa bandar di rangkaian mereka dan bersama-sama rakan penerbangan mereka.

    RB, dalam satu kenyataan yang diterima hari ini, menyatakan bahawa selain mematuhi peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA) Arab Saudi yang melarang kemasukan ke negara itu untuk tujuan mengerjakan umrah, penerbangan RB ke Jeddah akan digantung untuk Mac dan April 2020.

    RB juga mengumumkan penggantungan laluan Bintulu untuk tempoh masa yang tidak pasti dengan penerbangan terakhir beroperasi pada 14 Mac. Penggabungan lanjut penerbangan sementara untuk laluan lain juga diperlukan ketika tempoh permintaan yang berkurangan ini.

    Butir-butir semua penerbangan terjejas boleh didapati di laman sesawang RB.

    Menurut kenyataan lagi, RB amat menitikberatkan keselamatan tetamu dan kru yang mana syarikat mengamalkan standard tertinggi apabila ia melibatkan pembersihan pesawat udara dan mempunyai prosedur operasi standard yang ketat.

    Semua pesawat udara RB menjalani proses pembersihan dan disinfektan yang menyeluruh termasuk pembersihan kabin dan mengelap semua meja, kerusi dan skrin hiburan dalam kapal terbang bersama dengan handset. Semua fon kepala, bantal dan selimut (digunakan dan belum digunakan) dibuang selepas setiap penerbangan.

    Selain itu, syarikat juga menjalankan semburan disinfektan, topeng dan pembersih tangan (sanitizer) untuk langkah pencegahan tambahan.

    Pesawat udara dilengkapi dengan penapis High Efficiency Particulate Air (HEPA) dengan fungsi yang sama dengan penapis yang dipasang di bilik pembedahan hospital.

    Setakat ini, tidak ada jangkitan COVID-19 dalam penerbangan di mana-mana di dunia.

    Di samping itu, syarikat juga memperkenalkan beberapa perubahan kepada perkhidmatan dalam penerbangan sebagai langkah pencegahan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda