RB Harapan sasar terima lawatan 50 buah sekolah tahun ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Dalam usahanya untuk mendukung Wawasan Brunei 2035 terutama dalam mencapai matlamat rakyat berpendidikan dan berkemahiran, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah memulakan inisiatif RB Harapan untuk menyokong perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak sekolah di negara ini dengan memperkayakan pengalaman pembelajaran di Kampus dan Hangar RB.

Dengan inisiatif itu, RB menyasarkan untuk mengalu-alukan 50 buah sekolah bersama platform untuk menambah dan mengembang luaskan pendidikan pelajar menerusi lawatan teknikal dan sesi perkongsian di kemudahan-kemudahan RB.

Menurut kenyataan yang diterima hari ini, dalam lawatan itu, para pelajar akan dapat belajar menerusi persoalan yang diajukan kepada jurutera, kru kabin, juruterbang dan kakitangan pengurusan berhubung fungsi dan tugas-tugas yang dilakukan.

Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Haji Khalidkhan bin Haji Asmakhan dalam kenyataan itu berkata, “Inisiatif itu memberikan kami dengan peluang unik untuk melibatkan pemikir muda Brunei dan memberi mereka inspirasi suatu hari nanti dalam merealisasikan impian karier mereka.

“Diharapkan, ia juga dapat mendorong mereka bekerja keras dalam pembelajaran, berminat tentang apa yang mereka pelajari dan mencetuskan semangat sihat untuk menyumbang kepada masa depan negara,” ujarnya.

Semasa lawatan, para pelajar daripada pelbagai peringkat akan berpeluang melawat kemudahan teknikal dan pentadbiran moden RB termasuk pesawat B787 Dreamliner dan model contoh A320, bilik kru kabin, kawasan latihan, bengkel jurutera, Collaboration Hub dan Heritage Gallery. Sejak memperkenalkan RB Harapan pada permulaan tahun ini, syarikat itu telah menerima lebih 250 pelajar dan 27 guru dari enam institusi pendidikan pada Januari dan Februari.

RB juga akan berusaha untuk mendekati lebih banyak sekolah di keempat-empat daerah untuk menyertai inisiatif itu sepanjang tahun ini. Sekolah-sekolah yang berminat untuk menyertai RB Harapan boleh menghubungi RB secara langsung.

Kapten Haji Khalidkhan bergambar ramai bersama para pelajar dari Sekolah Rendah Puni, Daerah Temburong. – Gambar serahan RB