RB, JPMC meterai MoU

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Dalam usaha untuk memupuk perkembangan profesional, Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan di Kampus RB, hari ini.

Menerusi MoU tersebut, seramai 21 orang kru kabin akan dipinjamkan ke JPMC di bawah program pinjaman di hospital pakar swasta bermula 2 November 2020 hingga 30 April 2021, sebagai tambahan, RB akan menyediakan latihan kepakaran JPMC kepada kakitangannya di Akademi Pembelajaran RB.

Hadir bagi menandatangani MoU tersebut ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Martin Aeberli dan Ketua Pegawai Operasi JPMC, Dayang Zauyah binti Mohd Tarmizi.

Penandatanganan tersebut turut disaksikan oleh Naib Presiden Kanan RB – Perkhidmatan Kabin, Dayang Nur Rita Syakirah dan Timbalan Pengarah Perubatan JPMC, Dr Muhammad Hiza Wardy bin Haji Abdul Halim.

Semasa majlis penandatanganan tersebut, Martin Aeberli turut meluahkan rasa bangga dan beruntung kerana dapat bekerjasama dengan sebuah pertubuhan seperti JPMC untuk meneruskan program pinjaman mereka untuk kru kabin RB dalam memberikan latihan secara profesional dan mempunyai standard yang tinggi serta dapat menjamin keselamatan penumpang mereka sepanjang masa.

Sementara itu, Dayang Zauyah berkata bahawa kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan adalah teras utama JPMC. Dengan menjalin kerjasama di antara JPMC dan RB dalam mengukuhkan lagi kecekapan tenaga kerja akan membuahkan hasil ke arah pencapaian kedua-dua objektif organisasi. Beliau turut berharap kerjasama ini akan dapat menjadi contoh kepada organisasi lain untuk diikuti dalam membantu me-ngangkat negara ke tahap yang lebih tinggi.

Sebagai sebahagian daripada program pinjaman tersebut, kru kabin RB akan dilantik sebagai Rakan Pesakit untuk menyampaikan perkhidmatan dan memberikan sumber informasi kepada pesakit dan tetamu JPMC. Rakan Pesakit juga akan berhubung dan bekerja rapat dengan doktor, jururawat, penjagaan pelanggan, farmasi, makmal, pengimejan, keselamatan, pengangkutan dan bil pesakit semasa tempoh pinjaman tersebut.

Martin Aeberli (dua, kiri) dan Dayang Zauyah (dua, kanan) pada majlis penandatanganan MoU yang diadakan di Kampus RB. – Gambar serahan RB