RB lancar penerbangan khas Dine & Fly

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) hari ini melancarkan penerbangan Dine & Fly, yang pertama seumpamanya di sini, dengan 99 pelanggan mengambil kesempatan meraih pengalaman unik dan mengabadikannya dalam kenangan apabila berpeluang melihat pemandangan ikonik mercu tanda negara dan kawasan menarik di sekitar pulau Borneo.

Penerbangan BI45 menggunakan pesawat Airbus A320 itu dilancarkan pada jam 10 pagi dan antara penumpang yang menyertainya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua yang juga Pengerusi RB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan isteri; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan isteri serta tetamu istimewa lain dan orang ramai.

Penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei itu menjanjikan pengalaman terbang unik yang mengambil masa 85 minit dengan ulasan secara langsung oleh juruterbang RB dan krew mengenai kawasan-kawasan menarik di negara ini dan sempadan Brunei dengan bahagian lain di Borneo, termasuk Mulu, Kota Kinabalu dan Labuan manakala sebelum mendarat semula, ia berpusing di sekitar Jambatan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien agar penumpang dapat melihat keindahan jambatan itu dari udara.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika ditemu bual menjelaskan tawaran terbaharu RB dalam situasi negara masih dibelenggu COVID-19 ini adalah sesuatu yang kreatif, kerana semua perniagaan perlu kreatif dalam usaha meningkatkan pendapatan dan perniagaan mereka.

Menurutnya, di RB pesawat-pesawat tidak melakukan sebarang penerbangan ke destinasi-destinasi yang pernah dikunjunginya akibat pandemik, maka konsep baharu ini akan memberikan peluang bukan sahaja kepada juruterbang dan anak kapal untuk terbang malah memberikan kesempatan kepada orang ramai yang benar-benar rindu untuk menaiki pesawat.

Gambar pemandangan dari udara sebahagian daripada pesisir pantai Brunei manakala Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bersama isteri (gambar sisipan) adalah antara yang menyertai penerbangan Dine & Fly RB berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan dan isteri turut menyertai penerbangan tersebut.
Awang Masli bin Masri bersama anak-anak teruja menaiki pesawat mengelilingi Brunei dan beberapa daerah di Borneo.

“Kami juga memberikan penumpang peluang untuk melihat kawasan-kawasan menarik di Brunei Darussalam dan kawasan sekitarnya. Ia penerbangan singkat, sama seperti anda makan tengah hari, hanya anda menikmatinya di udara dan dalam masa yang sama, menikmati pemandangan dari udara yang menarik,” katanya.

Beliau juga menekankan pentingnya penumpang menyokong RB pada masa sukar ini kerana RB hanya melakukan penerbangan dalam kadar 5 peratus daripada kegiatan yang biasa dilakukannya.

Beliau berharap konsep Dine & Fly ini akan menjana lebih banyak minat dalam kalangan orang awam untuk terbang dan RB juga akan mengkaji konsep lain pada masa akan datang, seperti orang ramai juga boleh mengadakan acara istimewa dalam penerbangan. Beliau turut menantikan maklum balas pelanggan bagi membolehkan RB merangka strategi lain yang boleh dibuat pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Kewangan RB, Dayang Nurbahriah Eliza binti Abdullah ketika ditemu bual, memberi jaminan bahawa RB mengambil pendekatan prosedur operasi standard tertinggi dan langkah lebih ketat bagi mengekang penularan COVID-19 untuk keselamatan penumpang dan kru kabinnya. Antara langkah yang diambil ialah memastikan pemeriksaan suhu juruterbang dan kru kabin, semua pesawat RB menjalani pembersihan dan proses disinfektan menyeluruh, penjarakan fizikal dalam pesawat tetapi bagi keluarga boleh duduk bersama, pesawat dilengkapi penuras High Efficiency Particulate Air (HEPA) yang boleh membunuh kuman dan tidak mendarat di mana-mana negara lain.

Menurutnya lagi, konsep penerbangan seumpama itu sesuai untuk orang ramai yang ingin merakamkan memori istimewa atau sambutan istimewa seperti ulang tahun kelahiran, perkahwinan di udara.

“Anda boleh meraikan banyak ulang tahun kelahiran dan ulang tahun perkahwinan tetapi yang ini mungkin lebih istimewa kerana anda meraikannya di udara,” tambahnya.