Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    RB lancar penerbangan tanpa henti pertama

    Oleh Imelda Groves HA

    Gambar oleh Azrol Azmi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah melancarkan penerbangan tanpa henti pertama ke London dengan majlis Doa Selamat yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan pelancaran ialah Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga selaku pengerusi Lembaga Pengarah RB.

    Juga hadir dan bersama-sama menyempurnakan pelancaran ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay dan Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand.

    Karam Chand dalam ucapannya menjelaskan, pengenalan penerbangan tanpa henti RB ke London Heathrow merupakan satu peristiwa penting kerana buat pertama kalinya, Brunei dan United Kingdom (UK) dihubungkan secara langsung menerusi perhubungan udara.

    “Dengan hubungan budaya, ekonomi dan politik yang kuat antara kedua-dua buah negara, adalah tepat untuk menyediakan sambungan tanpa henti yang lancar. Penerbangan tanpa henti juga akan menjadi penyumbang bagi peningkatan pelancongan dari UK dan Eropah,” tambah beliau.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay dan Karam Chand ketika memotong reben semasa majlis pelancaran tersebut kelmarin.

    Menurut beliau, RB mengumumkan penerbangan tanpa henti harian antara Brunei dan London pada awal tahun ini. Penerbangan tanpa henti itu menyaksikan penumpang membuat perjalanan yang lebih pantas dengan mengurangkan perjalanan secara purata 3 jam ke / dari Brunei.

    Perkhidmatan tanpa henti menyediakan pilihan yang lebih menarik untuk penumpang yang terbang dari pasaran lain, terutama pada laluan Melbourne ke London; dengan pengenalan satu-henti di Brunei, ini mengurangkan masa penerbangan sebanyak empat jam secara purata ke / dari Melbourne.

    Ini, katanya, menjadikan RB sebagai pemain utama dalam pasaran Victoria-London, yang mana, penerbangan Melbourne-Brunei-London adalah laluan paling singkat.

    Dengan pelancaran penerbangan tanpa henti harian ke London, RB berhenti menyediakan laluan Dubai-London-Dubai. RB bagaimanapun, akan terus menyediakan sambungan penting kepada Majlis Kerjasama Teluk (GCC) melalui Dubai dan menawarkan perkhidmatan Brunei-Dubai-Brunei empat kali seminggu berkuat kuasa 29 Oktober.

    Dengan perubahan ini, RB juga telah memperbaharui jadual penerbangan Melbourne untuk menampung sambungan yang lebih baik dalam rangkaian laluan jarak jauhnya.

    RB melancarkan penerbangan pertamanya ke London (Gatwick) melalui Singapura dan Dubai pada 1990. Pada 10 Mei 1991, RB terbang dua kali seminggu ke London Heathrow dan pada 16 Mei 2004, RB melancarkan penerbangan hariannya ke London (melalui Dubai) dan bermula hari ini (28 Oktober 2018) RB melancarkan penerbangan tanpa henti harian ke London dari Brunei.

    Dengan penerbangan lewat tengah malam baharu ke London, RB mengingatkan penumpangnya bahawa prosedur daftar masuk untuk penerbangan bermula pada hari sebelum tarikh berlepas iaitu untuk penerbangan BI003 pada 28 Oktober 2018 dari Bandar Seri Begawan ke London, daftar masuk pada 27 Oktober 2018 dan ditutup pukul 11:15 malam (satu jam sebelum berlepas).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda