RB Leipzig terlepas peluang pintas Bayern

BERLIN, 17 JAN – RB Leipzig mensia-siakan peluang merampas kedudukan Bayern Munich sebagai pemimpin Bundesliga semalam setelah terikat seri 2-2 di Wolfsburg.

Untuk minggu kedua Leipzig terlepas peluang tersebut, apabila tewas 3-1 pada hujung minggu lalu menentang Borussia Dortmund dalam usaha memburu di tempat pertama.

“Ia sukar, anda selalu harus berjaya dan ketika melihat keputusan itu, tiga mata sangat berharga,” kata jurulatih Leipzig, Julian Nagelsmann.

“Saya yakin Leverkusen dan Dortmund akan mengatakan perkara yang sama,” tambahnya selepas Bayer Leverkusen tewas di Union Berlin pada Jumaat lalu sementara Dortmund seri di halaman sendiri menentang Mainz.

“Terdapat banyak pasukan yang bagus di liga dan anda harus selalu meningkatkan kemampuan anda setiap kali.”

Aksi pemain tengah Wolfsburg, Ridle Baku cuba merebut bola dengan pemain pertahanan Leipzig, Marcel Halstenberg (kiri) semasa perlawanan Bundesliga antara VfL Wolfsburg dan RB Leipzig, semalam. – AFP

Sementara itu, Bayern mengalami kekalahan 3-2 di Borussia Moenchengladbach dan kemudian tersingkir dari Piala Jerman pada pertengahan minggu lalu menentang Freiburg. Namun mereka kekal satu mata di hadapan.

Skuad bimbingan Nagelsmann memulakan perlawanan yang baik ketika Nordi Mukiele memberi mereka kelebihan awal menerusi hantaran Emil Forsberg.

Bagaimanapun, Wolfsburg kembali bangkit dengan meledakkan dua gol oleh Wout Weghorst dan Renato Steffen.

Pada separuh masa kedua, Orban berjaya menemukan gol penyamaan buat Leipzig.

Dortmund yang berada di kedudukan keempat juga tercicir mata ketika kapten Marco Reus gagal menjaringkan penalti pada lewat perlawanan yang berakhir dengan seri 1-1 di tempat lawan menentang Mainz.

“Saya boleh memenangi perlawanan itu. Saya sangat, sangat menyesal,” kata Reus, yang gagal menjaringkan penalti 15 minit sebelum wisel penamat.

“Kekecewaan itu sangat besar. Kami ingin melonjak naik dan kami telah melepaskan peluang itu.” – AFP