Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Satu lagi mercu kejayaan telah dicapai lebih-lebih lagi setelah meraikan sambutan ulang tahun ke-47 pada 18 November lalu, Kru Kabin Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah muncul sebagai pemenang untuk WTA World’s Leading Cabin Crew bagi dua tahun berturut-turut.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan pengumuman kejayaan berprestij baharu itu semasa berlangsungnya World Travel Awards (WTA), hari ini, secara maya, ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Pengerusi RB, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin yang mana turut disaksikan bersama lebih 300 orang kru kabin, pengurusan dan kakitangan syarikat tersebut.
Menerusi ucapan yang disampaikan Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf dan bagi pihak lembaga pengarah, beliau merakamkan penghargaan tahniah atas pencapaian berkenaan berkat kegigihan dan komitmen yang luar biasa para kru, kru kabin termasuklah pentadbiran syarikat selama ini.
“Tahun 2022 akan menjadi tahun yang mencabar, tetapi saya begitu mempercayai bahawa RB dan World’s Leading Cabin Crew 2021 akan mampu menghadapi segala cabaran dengan sebaik-baiknya.
Dengan memenangi anugerah dua kali berturut-turut adalah bukti menandakan syarikat penerbangan kita memiliki layanan dan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia dengan nilai-nilai KeBruneian,” tambahnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Abdul Hamid turut berkongsi bahawa di RB, mereka berusaha untuk terus mempamerkan layanan mesra Brunei kepada para tetamu.
Oleh itu, dengan adanya penerimaan anugerah berkenaan adalah sebagai suatu pengiktirafan atas segala komitmen mereka dalam mewujudkan pengalaman terbaik kepada para pelanggan.
“Bagi pihak RB, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tetamu, rakan dan peminat kami kerana sokongan yang tidak putus-putus. Kepada pasukan RB dan terutama golongan kru, saya begitu berbangga untuk memimpin kumpulan orang yang luar biasa yang telah diiktiraf oleh rakan industri kami,” ujarnya lagi.
Manakala, Pengasas, WTA, Graham E. Cooke, turut berkata bahawa RB terus menetapkan penanda aras untuk perkhidmatan pelanggan dalam sektor penerbangan dan beliau begitu gembira kerana kedua-dua travel trade dan orang ramai telah mengiktiraf kecemerlangan sehingga merangkul kemenangan anugerah yang mana komitmen seluruh pasukan di syarikat berkenaan pastinya menjadi inspirasi kepada semua.
Di samping anugerah kemenangan yang diraih berkenaan, syarikat penerbangan juga pernah diumumkan sebagai juara dalam kategori Asia’s Leading Cabin Crew dan Asia’s Leading Airline: Business Class sekitar bulan Oktober lalu.