RB mulakan percubaan Pas Perjalanan IATA 8 Nov

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAAN, 3 NOV – Ketika dunia semakin hampir untuk memulakan semula perjalanan global dan sebagai persediaan untuk menerima pakai aplikasi kelayakan kesihatan COVID-19 digital, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) mengumumkan bahawa ia akan memulakan percubaan Pas Perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bagi laluan-laluan terpilih bermula 8 hingga 28 November depan.

RB telah membuat pengumuman mengenai percubaan aplikasi berkenaan pada Mei lalu dan ia akan dapat digunakan untuk penumpang RB yang terbang ke Brunei dari Singapura, Kuala Lumpur, Melbourne dan United Kingdom.

Menurut kenyataan RB, aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh IATA itu membolehkan pengembara mengesahkan keselamatan selain menepati kehendak kesihatan COVID-19 sepanjang perjalanan mereka.

Dengan aplikasi itu, pengembara juga akan menghasilkan pasport digital yang menghubungkan keputusan ujian mereka, bukti vaksinasi dan maklumat perjalanan kepada identiti mereka yang disahkan.

Aplikasi berkenaan juga bertujuan untuk pra-pengesahan pengembara dengan OK to Travel sebelum ketibaan di lapangan terbang selain membuatkan proses syarikat penerbangan dan keselamatan yang lebih cepat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid dipetik berkata, dengan sempadan-sempadan antarabangsa mula dibuka semula, Pas Perjalanan IATA adalah alat penting ke arah membina keyakinan dalam kalangan penumpang untuk terbang bersama RB dan merasakan perkhidmatan yang telah memenangi anugerah.

“Ini adalah langkah positif ke arah memudahkan pembukaan semula sempadan, menghubungkan penumpang RB ke seluruh rangkaian kami dan memulihkan industri pelancongan Brunei,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden Serantau IATA untuk Asia Pasifik, Philip Goh pula berkata, “Kami teruja untuk bekerjasama dengan RB dalam percubaan Pas Perjalanan IATA. Ini akan menunjukkan bahawa aplikasi kesihatan digital boleh mengurus kelayakan kesihatan perjalanan dengan selamat, mudah dan cekap.”

Menurut beliau lagi, ia adalah langkah penting ke arah memulakan semula perjalanan udara antarabangsa, memberikan kerajaan keyakinan bahawa pelancong memenuhi keperluan kesihatan untuk kemasukan.

Pelancong yang mengambil bahagian dalam percubaan berkenaan digalakkan untuk memuat turun aplikasi itu (tersedia bagi peranti iOS 13.2 dan Android 6.0 ke atas) dan membuat identiti digital mereka sebelum perjanjian ujian PCR sebelum perjalanan di salah satu makmal dalam pendaftaran IATA. Semasa perjanjian itu, pengembara mesti memaklumkan petugas makmal bahawa mereka menyertai percubaan Pas Perjalanan IATA dan membawa pasport fizikal.