RB penerbangan 5 bintang

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) terus menjadi kebanggaan negara apabila ia dianugerahkan penarafan lima bintang oleh Persatuan Pengalaman Penumpang Penerbangan (APEX) bagi Kategori Penerbangan Utama.

Anugerah lima bintang yang berprestij atau tahap tertinggi di peringkatnya telah dianugerahkan kepada RB pada Majlis Penilaian Rasmi APEX 2020 di Los Angeles, Amerika Syarikat yang dihadiri oleh beberapa syarikat penerbangan terkemuka di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand berkata bahawa RB amat gembira menerima anugerah berprestij berkenaan dan menjadi sebahagian daripada kumpulan elit lima syarikat penerbangan bertaraf lima bintang di dunia.

“Tumpuan pasukan kami adalah untuk menyampaikan pengalaman terbaik setiap hari kepada pelanggan dengan keramahan warga Brunei diiktiraf oleh tetamu kami dan dicerminkan dalam beberapa anugerah yang diterima, baru-baru ini.

“Perkhidmatan terbaik dengan melakukan perkara-perkara kecil dengan sempurna merupakan sebahagian daripada strategi perkhidmatan yang menjadi titik pembezaan kami,” kata Karam Chand.

Menurut beliau lagi, anugerah berkenaan menggariskan matlamat RB untuk menjadi syarikat butik bertaraf dunia dan menjadi bukti kerja keras pasukan untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik di udara dan di lapangan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas sokongan berterusan dan pengiktirafan terhadap penambahbaikan terhadap produk dan perkhidmatan sehingga membolehkan kami mencapai penarafan lima bintang APEX,” tambah Chand.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif APEX, Dr Joe Leader menjelaskan bahawa RB maju dalam penarafan tahun ini bukan kerana penambahbaikan produknya tetapi juga kerana perkhidmatannya. Ketika RB meraikan ulang tahun ke-45, APEX juga mengucapkan tahniah kepada RB sebagai salah satu peratusan tunggal syarikat penerbangan di seluruh dunia yang mencapai status lima bintang.

Penarafan rasmi APEX adalah berdasarkan maklum balas penumpang melalui aplikasi pengatur perjalanan tertinggi di dunia, TripIt dari Concur. Dengan skala lima bintang, lebih sejuta penerbangan dinilai oleh penumpang merangkumi hampir 600 syarikat penerbangan di seluruh dunia antara 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2019.

Pada skrin yang sama, penumpang diberi peluang untuk memberikan penarafan tanpa nama dalam lima subkategori: keselesaan kerusi, perkhidmatan kabin, makanan dan minuman, hiburan dan Wi-Fi.

Sementara itu, penarafan skrin tunggal pula membolehkan penumpang menilai penerbangan mereka dengan mudah dalam masa kurang dari 15 saat.

RB menerima Anugerah Penerbangan Utama Empat Bintang APEX pada tahun 2017 dan sepanjang tempoh itu, RB telah memulakan pertumbuhan strategik dengan memperkenalkan lebih banyak penerbangan langsung ke beberapa destinasi utama.

RB kini beroperasi ke 25 destinasi antarabangsa dari habnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan tidak lama lagi akan menghubungkan 32 bandar-bandar baharu di Borneo yang diperkenalkan di bawah RB Link.