RB rai penerbangan pertama ke Tawau

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah meraikan pelancaran penerbangan pertamanya ke Tawau, Sabah, kelmarin.

Hadir di majlis sambutan tersebut ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Marunda bin KK Ampong; Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman; Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Koh Kian Leong; Pengurus Besar Malaysia Airports Sdn Bhd, Kamaruzzaman Razali dan Naib Presiden Kanan RB – Pengurusan Pendapatan, Louis Du Plessis.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad dengan kerjasama Pelancongan Sabah, dan dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan dan para media.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Louis Du Plessis berkata bahawa Negeri Sabah sudah menjadi salah satu destinasi paling popular dengan 18 penerbangan mingguan ke Kota Kinabalu dan terbaharu ini, enam penerbangan mingguan Sandakan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

“Kami gembira memperkenalkan Tawau sebagai tambahan terbaharu kami yang mengendali enam penerbangan seminggu menggunakan ATR 72-600 baharu yang dikendalikan oleh rakan perniagaan kami, Malindo Air.

Marunda , Noredah Othman, Koh Kian Leong, Kamaruzzaman Razali, Louis Du Plessis semasa memotong kek sempena pelancaran penerbangan pertama RB ke Tawau.

“Ini adalah satu lagi langkah penting dan menarik dalam matlamat kami untuk menjadikan perjalanan lebih mudah di Borneo dan seterusnya.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Group Chief Executive Officer) Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, “Pelancaran penerbangan baharu RB ke Lapangan Terbang Tawau adalah laluan antarabangsa kedua untuk lapangan terbang. Perkhidmatan baharu ini pasti akan membantu membawa lebih ramai pelawat dan meningkatkan sektor pelancongan di Sabah terutamanya dalam jangkaan Visit Malaysia 2020 pada tahun depan,” jelasnya.

Selain itu, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah berkata, “Baru-baru ini, kami menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan RB bagi kolaborasi bersama pemasaran UK dan ia kena pada masanya kerana kami juga boleh memasukkan laluan baru ini dari Brunei ke Tawau dalam kempen ini.

“Kami melihat laluan baharu ini sebagai kemudahan bagi lebih ramai pelancong untuk sampai ke tempat lain di Sabah melangkaui Kota Kinabalu,” kongsinya lagi.

Penerbangan pautan RB itu menyediakan pengalaman penuh perkhidmatan termasuk makanan ringan dan minuman ringan (untuk penerbangan lebih dari satu jam), dan elaun bagasi yang diperiksa sebanyak 15 kg atau, bagi menghubungkan tetamu, weight in-line dengan peraturan tambang antarabangsa.