RB raikan penerbangan pertama ke Bintulu

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah meraikan penerbangan pertamanya ke Bintulu, Sarawak, kelmarin.

Hadir pada majlis sambutan yang diadakan di Lapangan Terbang Bintulu itu ialah Pegawai Daerah Bintulu, Muhammad Dino bin Amid selaku tetamu kehormat; Pengurus Kanan Pembangunan Laluan, Malaysia Airports Holdings Berhad, Zainuddin Mohamed; Naib Presiden Kanan (Digital dan Pemasaran) RB, James Millett serta Haji Mohamad Ibrahim Nordin dan Haji Zolkipli bin Mohamad Aton daripada Lembaga Pelancongan Sarawak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan RB, di sini, majlis berkenaan dihoskan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad dengan kerjasama Pelancongan Sarawak dan dihadiri oleh para jemputan dan perwakilan media.

James Millett dipetik sebagai berkata, “Kami sangat berbangga menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang terbang ke Bintulu, di negeri Sarawak, Malaysia. Kami gembira untuk memperkenalkan Bintulu sebagai bandar destinasi kami seterusnya dalam fasa pertama inisiatif serantau RB Link yang menghubungkan bandar-bandar dan pekan di pulau Borneo.”

Tambahnya, Bintulu dan pekan-pekan berdekatan akan mendapat manfaat daripada harga nilai dan produk-produk perkhidmatan lima bintang mereka serta sambungan langsung menerusi Brunei ke pelbagai pasaran antarabangsa seperti China, Jepun, United Kingdom dan Australia yang menawarkan peluang-peluang pelancongan dan eksport yang hebat.

James Millet bersama tetamu-tetamu khas semasa memotong kek bagi meraikan penerbangan tersebut. – Gambar oleh RB

“Ia merupakan satu lagi langkah penting dan menarik dalam sasaran kami untuk menjadikan perjalanan lebih mudah di dalam dan luar Borneo,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin pula dipetik menyatakan, “Kami gembira kerana selepas penerbangan pertamanya ke Sandakan minggu lalu, kami kini mengalu-alukan RB ke Lapangan Terbang Bintulu.

“Setakat September 2019, Lapangan Terbang Bintulu telah merekodkan peningkatan sebanyak 23.6 peratus dalam pergerakan penumpang berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Dengan laluan antarabangsa baharu ini ke Bintulu, saya percaya RB akan mengukuhkan lagi permintaan meningkat antara kedua-dua destinasi ini dan meningkatkan industri pelancongan bagi Sarawak,” tambah beliau.

Penerbangan pertama RB menggunakan pesawat ATR 72-600 yang baharu dengan dikendalikan oleh Malindo Air, telah tiba di Lapangan Terbang Bintulu pada pukul 10:25 malam kelmarin dan dialu-alukan dengan tembakan meriam air.