RB sambung penerbangan ke Kuching

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) menyambung semula penerbangan ke Kuching, Sarawak dengan pengumuman jadual operasi baharunya, bermula 1 Mei dengan nombor penerbangan RB BI855.

Menurut RB, penyambungan berkenaan adalah susulan pengumuman negara-negara Senarai Hijau oleh kerajaan Brunei untuk perjalanan antarabangsa yang tidak mustahak.

Pelonggaran sekatan perjalanan telah dinanti-nantikan oleh orang ramai di Brunei dan Sarawak, bagi membolehkan mereka memulakan semula perjalanan dan menyumbang kepada industri pelancongan yang telah terjejas teruk akibat pandemik.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid dipetik berkata, Brunei dan Sarawak mempunyai sejarah hubu-ngan rapat dan hubungan kekeluargaan, justeru pasukan RB sangat teruja untuk menyediakan dan menawarkan pelanggan dan tetamu untuk berhubung semula dengan keluarga dan orang tersayang mereka sejak penutupan sempadan semasa pandemik COVID19.

“Pelanggan setia kami akan dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini, sedikit lebih bermakna, bersama keluarga dan orang tersayang,” tambah beliau.

Beliau seterusnya berkata, sejak penggantungan sementara penerbangan ke Kuching pada 2020, mereka telah menyemak dan merombak sistem tempahan dan daftar masuk, dan tetamu harus melihat pemudahan proses ini, sama ada dalam talian melalui laman sesawang mereka, atau di kaunter lapangan terbang. 

“Dalam beberapa bulan akan datang RB akan memperkenalkan semula rangkaian kami kepada tetamu, jadi pastikan awda menyemak laman web dan media sosial kami untuk mendapatkan tawaran terkini dan penerbangan baharu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pelancongan Brunei dan Lembaga Pelancongan Sarawak yang telah membantu menjayakan penerbangan ini, dan sudah tentu pelanggan kami yang amat dihargai kerana terbang bersama kami semula,” ujar beliau lagi.

Hadir mengalu-alukan penumpang penerbangan RB BI855 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Salleh Askor dan Pengurus Kanan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Malaysia Airports Holdings Bhd, Ir Jun Iskandar Haji Murshidi.

Sharzede berkata “Kami mengalu-alukan penyambungan semula penerba-ngan RB ke Kuching. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan RB bagi meningkatkan kesalinghubu-ngan kedua-dua destinasi untuk meningkatkan pasaran serantau yang datang ke Sarawak.

“Kami percaya pengumuman prosedur operasi standard (SOP) baharu COVID-19 baru-baru ini oleh Kementerian Kesihatan bermula 1 Mei adalah tepat pada masanya dengan peralihan kepada fasa endemik. Langkah ini akan menarik lagi pengunjung untuk datang ke Sarawak dan memulihkan industri,” tambahnya.