RB sambung penerbangan KK

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah mengumumkan penyambungan penerbangan ke Kota Kinabalu, Sabah bermula 6 Mei lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RB, di sini, ia adalah berikutan dengan pengumuman negara-negara Senarai Hijau oleh kerajaan Brunei bagi perjalanan antarabangsa tidak mustahak (non-essential) pada Mei.

Kenyataan menyatakan bahawa RB amat teruja kerana dapat memulakan semula penerbangannya ke Kota Kinabalu di mana ia merupakan salah satu destinasi pra pandemik pilihan dan dengan jadual baharunya ke Kota Kinabalu yang beroperasi pada Jumaat dan Ahad, ia akan amat sesuai bagi mereka yang ingin bercuti atau belayar pada hujung minggu.

Kenyataan menyatakan bahawa ia merupakan sebahagian daripada rancangan penyambungan semulanya dengan kerajaan-kerajaan di serata rangkaiannya mula mengurangkan sekatan perjalanan mereka.

“Lama-kelamaan kami akan meningkatkan kekerapan penerbangan kami dan memperkenalkan semula lebih banyak destinasi kami kembali kepada tetamu-tetamu.” Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin Abdul Hamid berkata, pihaknya berharap untuk mengembalikan keseluruhan rangkaian operasinya supaya mereka sekali lagi dapat memenuhi keperluan percutian bagi semua orang.

Rombongan Datuk Joniston Bangkuai semasa menerima tetamu-tetamu RB di lapangan terbang tersebut. – Gambar serahan RB

Kenyataan menyatakan bahawa semasa ketibaan di Kota Kinabalu buat kali pertama dalam masa dua tahun, tetamu-tetamu RB telah dialu-alukan oleh rombongan penyambut dalam pakaian tradisional Sabah dan cenderahati daripada Lembaga Pelancongan Sabah.

Hadir untuk mengalu-alukan tetamu berkenaan di lapangan terbang ialah Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Haji Mohd Yusrie Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman.

Datuk Joniston Bangkuai dipetik merakamkan perasaan gembira dapat mengalu-alukan kembali penerbangan itu di mana kesalinghubungan dari Brunei akan setentunya membantu dengan penumpang antarabangsa transit khususnya bagi laluannya yang dikendalikan sebelum ini dari Australia, United Kingdom, Timur Tengah dan Jepun.

“Kami berharap akhirnya penerbangan Brunei – Kota Kinabalu – Tawau juga akan dikembalikan semula,” tambahnya. Sementara itu, Noredah Othman menyatakan bahawa Pelancongan Sabah bekerjasama dengan Suria Sabah Jesselton Duty Free untuk menyediakan beberapa baucar diskaun kepada pengembara Brunei.

Beliau berkata pada masa ini, warga Brunei hanya dapat berkunjung ke Sabah dengan menggunakan penerbangan sahaja dan jadualnya amat bertepatan bagi perjalanan hujung minggu. Sebagai sebahagian daripada pelancaran semula operasi penerbangan RB, penerbangan ke Kota Kinabalu beroperasi dua kali seminggu menggunakan pesawat RB A320NEO iaitu laluan Brunei – Kota Kinabalu, nombor penerbangan, BI825, berlepas pada pukul 7 malam dan tiba pada pukul 7:40 malam, laluan Kota Kinabalu – Brunei, nombor penerbangan, BI826, berlepas pada pukul 8:40 malam dan tiba pada pukul 9:20 malam dengan hari operasi pada Jumaat dan Ahad bagi tarikh 6 Mei hingga 30 Jun 2022.