RB sambut ulang tahun ke-47

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Lebih 500 kakitangan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dari pelbagai rangkaian telah berkumpul secara maya untuk memperingati ulang tahun penubuhan RB ke-47 tahun.

Acara tahunan itu adalah sebahagian daripada forum jualan dan pemasaran dalaman syarikat penerbangan digelar Perhimpunan RB yang berlangsung dari 15 hingga 19 November.

Majlis berkenaan diisi dengan bacaan Doa Selamat, aktiviti membangunkan pasukan yang interaktif dan pertunjukan silap mata secara maya oleh ahli silap mata Brunei, Awang Nadzri Harif.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid dipetik berkata bahawa setelah 47 tahun, RB terkenal dengan perkhidmatan yang unik dan tulen selain mempamerkan keramahan dan nilai-nilai berharga Brunei.

Beliau mewakili RB menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan penghargaan kepada lembaga pengarah atas sokongan berterusan dan galakan untuk RB sepanjang tahun.

“Kejayaan RB juga adalah kerana sokongan berterusan tetamu dan kesetiaan yang mengutamakan tawaran syarikat penerbangan tersendiri yang disediakan oleh kru kabin cemerlang yang memenangi anugerah,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan RB atas semangat, dedikasi, kepakaran, tenaga, dan komitmen mereka untuk Brunei dan merentasi rangkaian RB di seluruh dunia.

Lebih 500 kakitangan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dari pelbagai rangkaian telah berkumpul secara maya untuk menyambut ulang tahun RB ke-47. – Gambar serahan RB