RB tawar diskaun istimewa

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Bersempena dengan Pesta Pengguna ke-20 yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga 28 Januari nanti di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, salah satu rakan kongsi pesta berkenaan, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) tidak melepaskan peluang untuk menawarkan diskaun istimewa.

Wakil jurucakap RB semasa ditemui menjelaskan, para pelanggan yang berkunjung ke Pesta Pengguna ke-20 akan ditawarkan tambang istimewa dan eksklusif, di samping itu, para pengunjung juga layak untuk menyertai cabutan-cabutan bertuah setiap hari.

Antara hadiah-hadiah menarik dalam cabutan bertuah sepanjang pesta itu termasuk tiket penerbangan ke destinasi-destinasi jarak dekat yang dipilih, 5,000 Royal Skies Miles dan juga barangan RB.

Menurutnya lagi, cabutan bertuah utama nanti akan diadakan dalam tempoh dua minggu di mana, seorang pelanggan akan membawa pulang hadiah utama berupa dua tiket penerbangan ke destinasi-destinasi jarak jauh yang ditawarkan oleh RB terkecuali Jeddah, manakala itu, pelanggan kedua pula akan membawa pulang dua tiket penerbangan ke destinasi-destinasi jarak dekat yang dipilih dan hadiah ketiga pula 50,000 Royal Skies Miles.

Sepanjang Pesta Pengguna ke-20, RB turut mengadakan pameran kerjaya RB daripada pasukan kejuruteraan dan krew kabin serta juruterbang-juruterbang bagi mempromosikan peluang-peluang pekerjaannya. Di samping itu, RB turut menyediakan kokpit maya bagi membolehkan para pelanggan merasakan sendiri suasana di RB.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan RB.