RB terpaksa lepaskan juruterbang asing demi kelangsungan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) pada saat ini tidak membuat penerbangan ke banyak destinasi, maka terdapat laporan bahawa beberapa juruterbang asing telah dilepaskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi RB mengesahkan perkara berkenaan.

“Memang benar kami ada melepaskan juruterbang-juruterbang asing. Ini jelas sesuatu yang tidak kami suka lakukan, tetapi kami perlu menguruskan perniagaan.

“Oleh itu, seperti yang anda katakan, kami tidak melakukan penerbangan sekerap yang biasa kami lakukan, jadi sudah pastinya kami mempunyai tenaga kerja yang berlebihan terutama di tahap juruterbang,” jelas Yang Berhormat Dato semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menambah, “Pada masa ini, kami memandang serius terhadap pengurusan
kos. Jadi dengan pemberhentian juruterbang asing seperti ini, ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Saya rasa anda ada melihatnya di banyak negara lain yang berlaku di semua syarikat penerbangan.”

Akan tetapi, beliau merasakan bahawa ia tidak akan menyelesaikan masalah dengan sendirinya, oleh yang demikian mereka hanya perlu terus melihat langkah-langkah penahanan kos yang lain.

“Kita semua tahu bahawa perjalanan antarabangsa tidak akan kembali dalam masa terdekat dan beberapa laporan perjalanan mengatakan bahawa ia akan memakan masa beberapa tahun sebelum kita kembali normal.

“Oleh itu, kita perlu sangat berhati-hati tentang bagaimana kita menguruskan perniagaan kita mulai sekarang,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan penghargaan atas perkhidmatan juruterbang asing selama bertahun-tahun dan menjelaskan bahawa ia situasi yang tidak dapat dielakkan.

“Akan tetapi, kami melakukan semua yang kami mampu untuk terus terbang ke destinasi apa pun yang kami dapat. Pada masa ini kami terus membuat penerbangan ke Melbourne, Singapura, Kuala Lumpur, Hong Kong dan Manila. Kami juga mempunyai penerbangan sesekali (occasional) ke Hangzhou, tetapi kebanyakannya hanya untuk penerbangan khusus untuk kumpulan orang tertentu,” jelas beliau.

Menurut Yang Berhormat Dato, sebahagian besar masa apabila membuat penerbangan, mereka hanya membawa kargo, tetapi sekarang mereka mempunyai ‘Green Lane’ dengan Singapura, mereka mempunyai penumpang yang lebih banyak dibandingkan dengan sebelum ini.