RB uji IATA Travel Pass

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Dalam membina keyakinan kalangan penumpang di seluruh dunia untuk memulakan semula perjalanan dengan selamat apabila sempadan antarabangsa dibuka nanti, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) turut menyertai syarikat penerbangan di seluruh dunia untuk menguji aplikasi IATA Travel Pass yang dibangunkan oleh IATA.

Menurut kenyataan RB, hari ini, aplikasi mudah alih tersebut membolehkan pelanggan RB mengesahkan secara selamat dan mudah yang mereka telah memenuhi keperluan kesihatan COVID-19 bagi bukti perjalanan.

Dengan aplikasi itu, para pelanggan akan berpeluang untuk mewujudkan satu kelayakan kesihatan digital yang akan menghubungkan keputusan ujian, bukti vaksinasi dan maklumat perjalanan kepada identiti mereka yang disahkan.

Aplikasi itu juga bermatlamat sebagai pra-mengesahkan penumpang sebelum tiba di lapangan terbang supaya dapat menjadikan proses sekuriti dan penerbangan lebih cepat.
Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Haji Khalidkhan bin Haji Asmakhan menyatakan RB baru-baru ini, telah dinilai penarafan tujuh-bintang tertinggi menentang COVID-19 oleh www.airlineratings.com.

Pengenalan aplikasi IATA Travel Pass, ulasnya lagi, akan terus meningkatkan komitmen RB kepada keselamatan dan kesihatan pelanggan mereka.

“Sebagai sebahagian daripada usaha RB untuk menyokong negara dan menyediakan perjalanan selamat kepada penumpang-penumpang kami semasa tempoh yang kritikal dan mencabar, kami akan bekerjasama rapat dengan IATA untuk memahami dengan lebih baik aplikasi itu.”

Usaha itu dengan gabungan strategi vaksinasi Brunei yang dilancarkan baru-baru ini, jelas Kapten Haji Khalidkhan, setentunya akan meningkatkan semangat serta satu langkah positif ke arah pembukaan semua sempadan dengan selamat dan menghubungkan pelanggan RB dengan rangkaian RB yang lain.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Lapangan Terbang, Penumpang, Kargo dan Sekuriti Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Nick Careen, dipetik menyatakan perasaan bangga untuk bekerjasama dengan RB untuk menguji IATA Travel Pass dan menunjukkan bahawa teknologi itu dapat membantu untuk menguruskan kelayakan kesihatan perjalanan penumpang dengan selamat, mudah dan efisien.

“Keutamaan kami ialah untuk memulakan kembali penerbangan, untuk menyokong ribuan orang yang bekerja dalam industri berkenaan dan industri-industri yang berkaitan seperti pelancongan.”

Pas kesihatan itu, jelasnya lagi, adalah kunci untuk melakukan perkara tersebut dengan selamat. Dalam hubungan itu, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan RB dan kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk menguji penerimaan Travel Pass di sempadan Brunei.

Kenyataan menyatakan lebih banyak maklumat mengenai ujian berkenaan akan diumumkan dalam minggu-minggu akan datang dan bagi mendapatkan maklumat mengenai jadual penerbangan RB pada masa ini, bolehlah layari www.flyRB.com.