Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan RBC
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Projek pembangunan Royal Brunei Culinary (RBC) Central Kitchen telah diumumkan sebagai salah satu pemenang inisiatif Projek Cemerlang yang julung kalinya diadakan oleh Persatuan Konsultan Perkhidmatan Makanan Antarabangsa (FCSI) Divisyen Asia Pasifik (APD), baru-baru ini.
Inisiatif Projek Cemerlang FCSI APD yang menyaksikan pakar dan hakim bebas menilai projek cemerlang yang baru disiapkan oleh ahli profesional dari rantau ini, mengiktiraf dan memilih projek RBC Central Kitchen sebagai salah satu pemenangnya.
Ini sekali gus mengiktiraf bahawa RBC Central Kitchen kini menjadi salah satu kemudahan pengeluaran pusat yang terbesar di negara ini.
Hospitality Total Services (HTS) Australia, ahli profesional FCSI yang dilantik oleh RBC, telah memberikan nasihat perancangan induk reka bentuk dari peringkat konsep awal, mengoptimumkan reka bentuk untuk mempertimbangkan kemudahan dari perspektif perkhidmatan makanan.
Ini termasuk pemindahan dari empat kemudahan pengeluaran berasingan yang terdiri daripada katering dalam penerbangan, penjagaan kesihatan, restoran dan kedai roti ke dalam satu dapur terpusat moden.
Antara objektif projek RBC itu adalah untuk memaksimumkan kecekapan pengeluarannya melalui pengoptimuman rantaian bekalan dengan meneliti proses pengeluaran dan mengenal pasti sinergi.
Pengurus Kanan dan Pengurus Projek RBC bagi projek pembangunan Central Kitchen, Alvin Voon berkata, “Adalah satu penghormatan besar bagi RBC Central Kitchen untuk menerima pengiktirafan ini, yang menjadi lebih istimewa apabila ia dianugerahkan oleh pakar-pakar dalam industri perkhidmatan makanan antarabangsa.
“Ini adalah penghargaan kepada kerja keras yang dilakukan oleh semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam memastikan projek ini berjaya,” tambah beliau.
Sebagai kemudahan pengeluaran pusat terbesar di Brunei, projek berkenaan telah membantu RBC mengalihkan tenaga kerjanya daripada kemudahan yang sedia ada kepada kemudahan baharu seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran pada skala yang ketara kini dan untuk tahun-tahun akan datang.