RBC sokong usaha petugas barisan hadapan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan dedikasi petugas-petugas barisan hadapan dalam menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Royal Brunei Culinary (RBC) mengagihkan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Gleneagles JPMC dan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RBC, di sini, hari ini, sebanyak 150 pek makanan diagihkan di mana pengagihan dikendalikan oleh Pengurus 2 Institutional Hospital Catering RBC, Judy Chong dan ahli pasukannya kepada petugas-petugas penjagaan kesihatan sebagai tanda sokongan serta penghargaan.

Pek makanan yang berkhasiat itu disediakan oleh RBC Institutional Hospital Catering, JPMC yang mengandungi nasi, hidangan sampingan, air botol, buah-buahan segar dan roti kastard.
RBC menyatakan akan meneruskan usahanya untuk menyokong petugas-petugas barisan hadapan yang berdedikasi dan berharap tanda penghargaan mereka itu, akan memberikan manfaat kepada petugas-petugas barisan hadapan dalam usaha mereka menentang pandemik itu.

RBC sokong usaha petugas barisan hadapan