LONDON, 26 Okt – Bank Diraja Scotland (RBS) hari ini mengumumkan kenaikan 14 peratus dalam keuntungan bersih suku ini, tetapi mengingatkan ‘prospek yang tidak pasti’ tatkala Britain bergelut untuk mencapai satu perjanjian Brexit.
Keuntungan selepas cukai meningkat kepada 448 juta pound pada suku ketiga sehingga September berbanding dengan tempoh yang sama pada 2017, kata RBS tatkala ia terus pulih selepas jaminan keluar kerajaan satu dekad lalu pada kemuncak krisis kewangan.
RBS juga mengumumkan pinjaman lapuk telah bertambah sebanyak 100 juta pound, ‘mencerminkan prospek ekonomi yang tidak terjamin.’
Ketua eksekutif Ross McEwan mengingatkan pada awal bulan ini bahawa risiko tanpa perjanjian Brexit menyebabkan ekonomi Britain mengalami kemelesetan pada tahun 2019.
Ketika menghadapi ketidakpastian Brexit, pinjaman RBS menjadi semakin was-was manakala syarikat sedang menangguhkan keputusan pelaburan, kata McEwan. Bank itu berkata ia sedang merancang untuk menghadapi keadaan paling teruk di tengah kebimbangan yang meningkat bahawa Britain akan meninggalkan Kesatuan Eropah pada Mac tanpa mencapai satu perjanjian dengan Brussels.
Sementara itu, RBS dijangka akan menubuhkan subsidiari Eropah di Amsterdam untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan di benua tersebut.
Pemberi pinjaman itu masih dimiliki majoriti oleh kerajaan Britain selepas ia diselamatkan dengan wang pembayar cukai berjumlah 45.5 bilion pound pada kemuncak krisis kewangan global pada 2008.
Britain pada Jun meneruskan penswastaan RBS dan kerajaan Konservatif pimpinan Perdana Menteri Theresa May berusaha untuk menjual dua pertiga daripada sahamnya dengan harga 15 bilion pound dalam tempoh lima tahun. RBS didenda 4.9 bilion pound oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) berhubung peranannya dalam krisis perumahan yang mencetuskan kemelesetan 2008. – AFP
