Oleh Daniel Lim
BELAIT, 15 OGOS – Kelab Rotary Belait (RCB) bakal menganjurkan majlis makan malam ulang tahun ke-55 pada 20 Ogos ini di Dewan Serba guna, Sekolah Menengah Chung Ching, Seria.
Presiden RCB, Henrietta Hiew menjelas-kan bahawa majlis berkenaan pada awalnya dijadualkan diadakan pada 4 September tahun lalu, namun disebabkan pandemik global, ia ditunda sehingga baru-baru ini dan beliau bagi pihak RCB menyampaikan penghargaan atas usaha yang dibuat oleh kerajaan kerana memberi peluang memperingati ulang tahun penting itu ketika negara beralih ke Fasa Endemik.
Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa ahli-ahli RCB telah bekerja keras dalam mempersiapkan majlis makan malam ulang tahun berkenaan, dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan telah dirancang bagi memperingati dan meraikan projek-projek dan inisiatif yang dijalankan oleh kelab berkenaan sepanjang tahun.
Beliau menambah, majlis berkenaan juga merupakan satu lagi peluang bagi RCB melahirkan penghargaan kepada rakan-rakan Rotary, sukarelawan dan penyokong kelab atas sokongan berterusan mereka yang memastikan kelab tersebut dapat menjalankan pelbagai projek dan inisiatif amal.
Sehubungan itu, RCB mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menyertai dan meraikan acara berkenaan bersama kelab tersebut.