Friday, June 2, 2023
23.6 C
Brunei

    -

    RCB rai raya bersama pelajar Pusat Ehsan

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 10 MEI – Seramai 30 pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) di Daerah Belait berpeluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dalam satu lawatan yang dianjurkan oleh Kelab Rotary Belait (RCB) pada petang kelmarin.

    Program Raya Fellowship yang dianjurkan oleh RCB itu telah berlangsung di Monkey Bars Co, Jalan Jaya Negara, Kuala Belait dengan kerjasama Monkey Bars Co, ahli-ahli RCB dan Presidennya, Henrietta Hiew, yang menyambut kedatangan para pelajar dari Pusat Ehsan ke kafe tersebut.

    Dalam ucapan pembukaannya, Henrietta melahirkan ucapan terima kasih bagi pihak kelabnya kepada Monkey Bars Co kerana telah memberikan sokongan dalam menyediakan lokasi yang unik bagi para pelajar menikmati hidangan yang lazat dan bermain di taman permainan kafe tersebut.

    “Kami berharap acara yang indah ini akan membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada semua yang terlibat dalam menyambut Hari Raya, di samping memberikan perbezaan dalam kehidupan kanak-kanak ini,” tambahnya.

    Beliau juga menekankan bahawa kelab itu komited membantu masyarakat sekitarnya yang memerlukan dan berharap dapat menghasilkan lebih banyak program lagi pada masa akan datang.

    Selepas ucapan tersebut, acara diteruskan dengan para pelajar diberi peluang untuk bermain-main di taman permainan sambil menikmati pelbagai hidangan dan minuman yang disediakan bagi memeriahkan lagi suasana perayaan.

    Sebagai tanda penghargaan, RCB turut memberikan sijil penghargaan kepada penyelia Monkey Bars Co, Awang Muhammad Vincent bin Abdullah dan Pengarah Urusan mereka, Alice Chan.

    Di akhir acara, Presiden RCB dan Alice turut memberikan hadiah beg kecil dan sampul duit raya kepada para pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga dari Pusat Ehsan untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.

    Warga Pusat Ehsan bergambar ramai bersama ahli-ahli RCB pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    AS, Jepun modenkan pakatan tentera

    TOKYO, 1 JUN – Amerika Syarikat (AS) dan Jepun sedang berusaha untuk memodenkan pakatan ketenteraan mereka dalam menghadapi ancaman dari China, Korea Utara dan...
    - Advertisment -