Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    RCEP berkuat kuasa 1 Januari

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), mula berkuat kuasa pada 1 Januari bagi Australia, Brunei Darussalam, Kemboja, Republik Rakyat China, Jepun, Laos, New Zealand, Singapura, Thailand dan Vietnam.

    Perjanjian RCEP juga akan berkuat kuasa pada 1 Februari depan bagi Republik Korea, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, mengenai penguatkuasaan Perjanjian RCEP.

    Penguatkuasaan Perjanjian RCEP dijangka akan membuka jalan untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas yang meliputi 2.3 bilion orang atau 30 peratus daripada penduduk dunia, berdasarkan data Bank Dunia, yang menyumbang kepada AS$25.8 trilion atau kira-kira 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global serta AS$12.7 trilion atau lebih satu perempat daripada perdagangan global dalam barangan dan perkhidmatan serta 31 peratus daripada aliran masuk FDI global.

    Angka-angka berkenaan menjadikan Perjanjian RCEP sebagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia yang dijangka akan memudahkan rantaian nilai global dan perdagangan dalam rantau ini.

    Kenyataan menjelaskan bahawa ketika dunia terus bergelut dengan kekacauan ekonomi yang disebabkan oleh wabak pandemik COVID-19, penguatkuasaan Perjanjian RCEP menandakan keazaman rantau ini untuk memastikan pasaran tetap terbuka, meningkatkan integrasi ekonomi serantau, menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, bebas, adil, inklusif dan berasaskan peraturan serta menyumbang kepada usaha pemulihan pasca pandemik global.

    Negara-negara ahli RCEP yakin bahawa, dengan komitmen akses pasaran yang dibuat, bersama dengan peraturan dan disiplin yang diperkemas dan dimodenkan bagi memudahkan perdagangan dan pelaburan, Perjanjian RCEP akan memberikan peluang baharu kepada peniaga-peniaga, mengukuhkan rantaian bekalan di rantau serta menggalakkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke dalam rantaian nilai serantau dan hab pengeluaran.

    Perjanjian RCEP telah ditandatangani pada 15 November 2020 oleh negara-negara anggota ASEAN, Australia, Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea dan New Zealand. Negara Brunei Darussalam berharap penguatkuasaan Perjanjian RCEP bagi kesemua negara-negara ahli RCEP.

    Kenyataan menyatakan bahawa semua pengeksport di negara ini digalakkan untuk menggunakan peluang-peluang yang ada di dalam Perjanjian RCEP, terutamanya kadar tarif keutamaan (preferential tariff rates) yang ditawarkan dan potensi untuk mengoptimumkan rantaian bekalan.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi, tf@mofe.gov.bn.

    Teks undang-undang RCEP boleh diakses melalui laman sesawang, https://rcepsec.org/

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...