Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    RCEP pemangkin perdagangan serantau, integrasi ekonomi

    PHNOM PENH, 10 NOV – Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen berkata hari ini bahawa pakatan perdagangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menjadi pemangkin integrasi ekonomi dan perdagangan serantau yang lebih baik dalam era pasca COVID-19.

    RCEP yang berkuat kuasa awal tahun ini terdiri daripada 15 negara Asia Pasifik termasuk 10 negara anggota ASEAN, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam selain lima rakan dagang iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

    Berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2022, Hun Sen berkata perjanjian perdagangan megaserantau itu menyaksikan pencapaian penting bagi ASEAN kerana blok itu telah berusaha membuka peluang ekonomi dan mempelbagaikan pasaran serantaunya, lapor Xinhua.

    “Saya percaya bahawa perjanjian perdagangan bebas yang besar ini akan meningkatkan aktiviti perdagangan di dalam dan di luar ASEAN, serta menggalakkan integrasi ekonomi serantau yang lebih luas.

    “Sebagai ahli RCEP, Kemboja mengesahkan komitmennya terhadap sistem perdagangan berasaskan peraturan dan mengalu-alukan semua pelaburan dari negara ASEAN dan rakan kongsi lain,” beliau dipetik berkata demikian oleh agensi berita Xinhua.

    Sementara itu, Hun Sen berkata keadaan dan gambaran pasaran ekonomi global masih tidak menentu dan mudah terdedah kepada pelbagai krisis baharu kerana dunia terus berdepan cabaran yang semakin kompleks merangkumi aspek ekonomi, sosial, alam sekitar dan geopolitik.

    “Oleh itu, ASEAN perlu terus berpegang kepada prinsip sistem perdagangan pelbagai hala dan meningkatkan liberalisasi perdagangan untuk mempromosikan ASEAN sebagai rantau yang terbuka, telus dan inklusif,” katanya. – Bernama

    Seorang anggota pasukan keselamatan berdiri dekat kenderaan berperisai menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...