ReadyMix bantu kanak-kanak memerlukan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – ReadyMix telah menyerahkan sumbangan berjumlah $1,040 kepada dua organisasi kebajikan iaitu BANTU dan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan dalam membuat persiapan kembali kesekolah tahun depan.

Bantuan yang diberikan berkenaan merupakan antara inisiatif syarikat untuk memperkasakan para belia di negara ini, yang mana bantuan tersebut akan dapat membantu seramai 50 orang kanak-kanak mendapatkan baju sekolah baharu, buku dan peralatan belajar.

Penyampaian sumbangan pada majlis yang berlangsung di Readymix Jalan Pengiran Babu Raja, Kiarong, hari ini, telah disempurnakan oleh wakil syarikat berkenaan, Dayang Zara Laila binti Abdul Hadi dengan disaksikan oleh Dayangku Noorsalam binti Pengiran Haji Amat dan Dayang Latifah binti Haji Othman.

Hadir menerima sumbangan bagi MKM ialah Ketua Komiti Kanak-kanak, Dayang Zubaidah binti Dato Haji Abu Zar dan Dayang Siti Razidah Haji Mohammad, manakala BANTU diwakili oleh Hajah Normah Suria Hayati binti PJDSMDSU (Dr) Haji Mohd Jamil Al-Sufri.

Hajah Normah Suria Hayati ketika ditemui Media Permata berkata, dengan adanya bantuan yang diberikan oleh Readymix berkenaan akan dapat membantu seramai 10 kanak-kanak perempuan daripada keluarga susah untuk membeli peralatan sekolah bagi musim buka sekolah tahun depan.

“BANTU telah mula membuka rumah asrama sejak 2017 dan telah menempatkan seramai 10 orang kanak-kanak perempuan daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” jelasnya.

Dayang Zara Laila pula menyatakan bahawa Syarikat Readymix sangat-sangat berterima kasih kepada dua buah organsasi berkenaan dalam sama-sama mencapai misi mereka iaitu menyediakan pendidikan yang terbaik kepada kanak-kanak daripada kalangan keluarga yang susah.

Readymix telah menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya sejak syarikat berkenaan ditubuhkan dalam sama-sama membantu masyarakat terutama sekali dalam kalangan belia lebih-lebih lagi dari segi pendidikan.

Syarikat berkenaan percaya dengan adanya bantuan seperti itu akan dapat meringankan lagi bebanan mereka seharian daripada kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

Dayang Zara Laila menyerahkan sumbangan kepada dua buah organisasi kebajikan.