Readymix ceriakan anak yatim

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Seramai 20 orang anak yatim di bawah organisasi amal BANTU dan kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan telah diraikan dalam Sambutan Hari Raya Readymix di Kampung Kiarong, hari ini.

Sambutan yang julung kalinya diadakan khusus untuk anak-anak yatim BANTU dan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan itu merupakan usaha untuk memberi keceriaan kepada kanak-kanak berkenaan dalam menyambut suasana Hari Raya seperti kanak-kanak yang lain.

Pada majlis itu, kanak-kanak berkenaan diberikan sampul hijau yang disampaikan oleh Pengarah Readymix Concrete (B) Sdn Bhd, Awang Hamiddon bin Haji Mohammad Said manakala beg barangan pula disampaikan oleh Pengurus Besar Readymix, Yap Chin Tek.

Kanak-kanak berkenaan turut di jamu dengan pelbagai hidangan sempena Hari Raya Terbuka Readymix.

BANTU merupakan organisasi amal yang diasaskan oleh Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri yang mana organisasi berkenaan menumpukan dalam menyediakan penjagaan dan perlindungan kepada anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Yap Chin Tek bergambar ramai bersama anak-anak yatim dan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.
Awang Hamiddon menyampaikan sampul hijau kepada salah seorang kanak-kanak, kelmarin.