Readymix pacu Projek Jelajah Ramadan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Readymix telah menyerahkan cek bernilai $1,000 kepada Projek Bina Ukhwah dalam penyertaan Projek Jelajah Ramadan tahunan kepada 120 buah keluarga kurang bernasib baik di seluruh negara.

Penyerahan di Pejabat Readymix, Kiarong itu diadakan bagi membantu mereka di bulan suci Ramadan dan juga untuk mempersiapkan diri bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Readymix mempraktikkan tanggungjawab sosial korporat dengan menumpukan konsep selama 34 tahun dengan memberi kembali kepada masyarakat sejak ditubuhkan pada tahun 1984. Readymix sentiasa menjadi penyokong besar pemerkasaan golongan muda, terutama Projek Bina Ukhwah yang diketuai oleh pelajar dan graduan baharu dari institusi tinggi dalam mewujudkan persekitaran hidup yang lebih baik dan selamat untuk keluarga yang kurang berkemampuan.

Hadir menyerahkan cek ialah wakil Readymix, Dayang Zara Laila binti Abdul Hadi, yang disertai oleh kakitangan kanan, Dayangku Noorsalam binti Pengiran Haji Amat dan Dayang Latifah binti Haji Othman. Manakala Pembantu Pengurus Projek Projek Bina Ukhwah, Dayang Norsuziyani binti Abdullah menerima cek disertai oleh ahli-ahli jawatankuasa eksekutif iaitu Dayangku Noor Ummiatul Afiqah binti Pengiran Zainalabidin dari Logistik dan HSE, Dayang Nuruljannahwajihahafifah binti Armanshah dari Perhubungan Awam dan Dayang Nurul Izzah binti Ibrahim.

Readymix juga akan menyediakan tambahan tenaga kerja dan pengangkutan bagi Projek Jelajah Ramadan sepanjang proses penyediaan dan pengedaran barang kepada rumah keluarga yang kurang bernasib baik terpilih yang ditapis oleh Projek Bina Ukhwah selepas ini.

Dayang Norsuziyani ketika ditemui Media Permata menjelaskan bahawa cek yang mereka terima pada hari ini akan digunakan untuk membeli barangan yang akan diagihkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan di keempat-empat daerah yang terpilih melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Selain itu, mereka juga ada menyediakan ‘Ramadan Basket’ bermula sebulan yang lalu.

“Dari sana, kami mengumpul derma daripada orang ramai dan pada masa ini, kami dalam proses penyediaan untuk didermakan di keempat-empat daerah,” jelasnya mengenai ‘Ramadan Basket’ yang berupa kotak sumbangan.

“Bagi mereka yang berminat untuk menyumbang, bolehlah berkunjung ke Freshco Timesquare, Bruneihalal dan juga De Rimba di mana kami menyediakan bakul untuk mereka menderma sambil membeli-belah,” jelasnya lagi.

Dayang Zara Laila menyerahkan cek bernilai $1,000 kepada Dayang Norsuziyani sambil disaksikan oleh pegawai dan kakitangan Readymix dan Projek Bina Ukhwah yang lain.